Kerajaan Kalau Nak Buat Undang-undang… Buatlah Betul-betul – Azalina


KUALA LUMPUR, 1 Julai – Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meminta kerajaan janganlah seolah-olah mahu melepaskan batuk di tangga dalam membuat usul semua anggota Parlimen isytihar harta.

Katanya, kalaupun usul ini berjaya kerana bilangan ahli Parlimen kerajaan yang ramai tetapi keberkesanan itu mungkin gagal ekoran Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tidak mempunyai kuasa.

“Kalau nak buat… buatlah betul-betul. Usul ini tidak sah sebab tidak akan mempunyai keberkesanan. Buatlah secara teliti agar ahli-ahli Parlimen dari semua pihak dapat membantu kerajaan.

“Janganlah nak buat hanya sekadar untuk mengejar populariti sahaja.

“Menjadi populis kepada rakyat kononnya dah janji pada mereka sedangkan banyak lagi janji-janji lain yang tak dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam membahaskan Usul mewajibkan semua anggota Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing, hari ini.

Tegasnya, punca kuasa mesti betul kerana usul yang dibuat tidak ada punca kuasa.

“Yang berlaku hari ini hanya kuasa yang kononnya boleh menyita dan ini dianggap tidak adil. Niat kerajaan mungkin murni tetapi caranya tak betul.”

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar ia lebih berkesan sama ada meminta Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau membuat satu undang-undang baharu.

“Nasihat saya, buatlah cara yang betul, buatlah tindakan yang betul, buatlah pindaan pada peraturan mesyuarat atau wujud undang-undang baru ataupun pindaan kepada Akta SPRM. Kita mempunyai masa,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.