Ismail Sabri Kekal Ketua Pembangkang


KUALA LUMPUR, 1 Julai – Naib Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang memulakan tugas selepas mengumumkan untuk kembali aktif dan menamatkan cuti berkata demikian dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

“Saya telah mengambil keputusan bahawa persetujuan semua ahli-ahli Parlimen pembangkang yang dulunya sewaktu saya berehat dan bercuti, telah meletakkan bahawa YB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Ketua Pembangkang dan ia kekal.”

“Ini bererti buat masa ini ada pembahagian tugas antara saya Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri dan juga Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Ketua Whip dikalangan ahli-ahli pembangkang,” katanya.

Tegas beliau, tentunya keutamaan beliau adalah untuk melihat UMNO terus diterima rakyat dan relevan dalam politik tanah air.

“Biar apa pun terjahan isu dan juga lemparan pelbagai permasalahan sama ada kepada parti dan kepada kepimpinan parti, insyaAllah kami akan menghadapi semua perkara itu secara kolektif.

“Saya juga ingin menyatakan bahawa soal pertuduhan sebanyak 87 yang dikenakan kepada saya, biar saya hadapi perkara ini sebagai perkara peribadi di mahkamah. Ianya tidak melibatkan UMNO sebagai entiti organisasi politik dan saya telah menyerahkan kepada barisan peguam-peguam saya untuk menguruskannya.

“Tentunya pertuduhan-pertuduhan ini tidak akan melemahkan saya sebagai Presiden UMNO dan juga sebagai Ahli Parlimen.”

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menyeru semua pihak untuk kembali bertaut kepada UMNO.

“Saya menyeru diri saya sendiri, rakan-rakan dari saf kepimpinan UMNO, kepimpinan di peringkat Negeri, Bahagian dan Cawangan, mari kira buang yang keruh, ambil yang jernih ibarat biduk lalu kiambang bertaut,” katanya.

Terdahulu beliau telah memulakan tugas sebagai Presiden UMNO hari ini dengan hadir di Ibu Pejabat parti di Menara Dato’ Onn.

“Saya juga telah bertemu dengan Timbalan Presiden UMNO di PWTC dan kami telah membincangkan beberapa tugas yang kita akan laksanakan bersama,” maklum beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.