Cukup-cukuplah PH… Lakukanlah Kerja Hakiki Sebagai Kerajaan


KUALA LUMPUR, 1 Julai – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata cukup-cukuplah Pakatan Harapan (PH) menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, sudah setahun lebih kerajaan PH memerintah tetapi tindakan mereka hanya dendam dan suka menyalahi kerajaan terdahulu dalam mengurus tadbir negara.

“Berhentilah mengorek perkara-perkara lama dan janganlah menyalahi kerajaan terdahulu. Kalau hendak buat, buatlah betul-betul dan pada masa yang sama jangan lupa lakukanlah kerja-kerja hakiki kerajaan… sebab rakyat mahu tahu apa yang kerajaan ingin lakukan.

“Apa nak jadi dengan kedudukan rakyat dan rakyat perlu tahu apa yang kerajaan buat? Sudah lebih setahun memerintah. Tiada kebajikan yang dilakukan oleh mereka … contohnya kebajikan anggota di MinDef … tiada duit macamana nak berikan kepada anggotanya?

“Dalam keadaaan sekarang ini moral masyarakat terjejas akibat ekonomi yang merudum jatuh, harga kelapa sawit semakin jatuh, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak dihapuskan dan tiada dilaksanakan penghapusan tol,” katanya kepada media di Parlimen hari ini.

Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong menjelaskan perancangan untuk memulihkan ekonomi sangat penting, justeru peneroka-peneroka semakin merana setelah PH memerintah negara ini.

Mengulas berkenaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kembali bertugas, katanya, Presiden UMNO berhak menerajui parti kerana akar umbi UMNO menyokong Ahmad Zahid semasa pemilihan UMNO yang lalu.

“Bagi saya ini adalah hak beliau dan ini penting untuk melihat kepada kesatuan dan kedudukan parti itu sendiri.

“Dengan perkembangan terkini janganlah kita bertelagah, sama ada kekal atau tidak hala tuju parti maka kita serahkan kepada pucuk kepimpinan,” ujarnya lagi.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.