UMNO Perlis Dan Pahang Harus Menguruskan Kemenangan Dengan Baik

PADANG BESAR, 30 Jun –  Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO negeri Perlis dan Pahang perlu menguruskan kemenangan secara berstrategi kerana rakyat di kedua-dua negeri ini mengharapkan UMNO dalam berhadapan kerajaan baru yang keliru dan celaru.

Jelas beliau, berbeza dengan negeri-negeri yang kalah, kepimpinan UMNO di sana harus terus bermuhasabah diri dan mencari solusi memperbaiki segala kelemahan.

“Bila bercakap mengenai negeri Perlis, ia pasti berbeza dengan negeri Johor atau negeri-negeri lain yang kalah. Negeri yang kalah kita harus bercakap tentang kepentingan mengurus tapi bagi negeri Perlis dan Pahang, harus tentang mengurus kemenangan.

“Tetapi saya percaya, walaupun menang ia tidak bermakna kita tidak berhadapan dengan cabaran, maka kita harus mengurus kemenangan secara berstrategi,” ujar beliau.

Tambah beliau, dalam soal ini, walaupun Perlis dan Pahang dikuasai oleh BN namun kesukaran membela nasib rakyat amat terserlah apatah lagi berhadapan dengan kerajaan yang tidak ada hala tuju yang jelas dalam mengurus negara.

“Kita dapat lihat dengan jelas bagaimana haru birunya kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH). Mereka tiada hala tuju malah kita juga boleh lihat merek tidak mempunyai ketegasan yang kukuh dalam membela orang Melayu. Fokus mereka untuk membela Melayu dan Islam boleh dipertikaikan.

“Dalam keadaan kerajaan yang tidak boleh diharapkan untuk membela nasib Melayu dan Islam maka rakyat di Perlis dan Pahang amat mengharapkan UMNO… bukan hanya kerana UMNO pembela orang Melayu tetapi kerana UMNO kerajaan negeri.

“Jadi, kita tidak boleh mengecewakan rakyat, mereka telah pilih kita jadi kita harus balas dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik,” jelas beliau.

Namun begitu beliau turut mengingatkan agar UMNO Perlis dan Pahang tidak alpa dengan kemenangan.

“Jangan ingat bila sudah menang maka tidak perlu kerja keras bagi menghadapi PRU-15. Jangan alpa.

“UMNO Perlis dan Pahang perlu juga memikirkan bagaimana nak mengekalkan kemenangan dengan lebih baik di masa hadapan,” tegas beliau. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.