Selamat Kembali Bertugas Semula Presiden UMNO


KUALA LUMPUR, 30 Jun – Keputusan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO, menamatkan cutinya dan kembali bertugas serta-merta adalah tepat, dan sesuai dengan masanya, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah

Malah katanya, langkah yang dilakukan Ahmad Zahid tidak menyalahi peraturan parti, dan menjadi haknya selaku Presiden UMNO yang dipilih secara sah oleh perwakilan UMNO seluruh negara.

“Kita mesti menghormatinya. Kini adalah waktu kita bersatu padu, berkhidmat kepada rakyat dan meningkatkan kesetiaan kita pada perjuangan UMNO.

“UMNO mesti kuat, kerana ramai mengharapkan UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau mengajak semua pimpinan dan ahli UMNO di semua peringkat untuk meningkatkan kerjasama dan muafakat.

“Musuh politik sebenar kita ialah Kerajaan PH, kita mesti hadapi mereka.

“Saya berkeyakinan gandingan Presiden UMNO, Timbalan Presiden UMNO bersama pimpinan UMNO yang lain akan pasti membawa UMNO jauh mara kehadapan dan mampu menghadapi apa juga cabaran.

“Mari kita bersama bergandingan menyemarakkan obor perjuangan parti keramat UMNO,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk hari ini telah mengumumkan untuk kembali aktif memimpin parti selepas bercuti selama enam bulan sebelum ini.

Pengumuman tersebut telah dibuat pada satu Majlis Hari Raya Aidilfitri di Sungai Sumum, Bagan Datok, Perak sempena setahun beliau dipilih sebagai presiden parti itu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.