Orang UMNO Jangan Sombong Sekiranya Mahu Menang PRU-15

 

PADANG BESAR, 30 Jun – Ketua UMNO bahagian Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, orang UMNO tidak boleh sombong sekiranya mahu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Jelas beliau, mahu tidak mahu UMNO perlu ‘belajar’ daripada Dap yang tegas, bersatu dan patuh kepada pemimpin mereka.

“Kita ini walaupun sudah kalah masih ada yang sombong dan bercakaran sesama sendiri. Tak kesian ke kepada anak cucu cicit kita nanti?

“Kita patut contohi Dap yang patuh kepada pemimpin mereka sehinggakan mereka mampu mengukuhkan kedudukan.

“Mereka juga begitu konsisten memecah-belahkan orang Melayu dan mendidik Melayu menjadi pengkhianat sehingga akhirnya UMNO tumbang dalam pilihan raya lepas,” ujar beliau ketika berucap dalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Pokok Sena, semalam.

Tambah beliau, UMNO juga perlu sedar bahawa perjuangan dan cabaran yang hebat sedang menanti di hadapan memandangkan kerajaan masa kini dikuasai oleh Dap.

“Dap berkuasa kerana ada Melayu menjadi pengkhianat dan memecah-belahkan UMNO. Bermula dengan Semangat 46 kemudian PPBM… semua ini daripada UMNO. Pengkhianat inilah yang merosakkan Melayu dan menyebabkan Melayu tidak bersatu.

“Dap tidak perlu bersusah-payah untuk berkuasa… mereka hanya konsisten melahirkan pengkhianat dan hasilnya hari ini, Islam, Melayu dan Nabi kita dihina. Kerana apa… kerana Melayu itu berpecah,” luah beliau.

Selain itu jelas Zahidi, hari ini juga terdapat usaha yang begitu hebat untuk menghancurkan UMNO namun beliau berharap agar akar umbi jangan risau dan terus perkukuhkan saf. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.