Kerjasama UMNO- PAS Tulen, Ikhlas… PH Gagal Berkhidmat Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Kerjasama UMNO dan PAS adalah tulen dan ikhlas yang lahir atas kesedaran bahawa dua buah parti terbesar orang Melayu Islam dan Bumiputra di negara ini mesti bangkit bersama bagi membela agama, bangsa dan negara.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerjasama ini adalah nikmat besar yang diberikan kepada kita selepas PRU-14.

“Kepada rakyat, saya harap kita jangan mendengar apa yang pimpinan Pakatan Harapan (PH) khususnya Dap ucapkan berkaitan kerjasama UMNO-PAS. Semua ucapan mereka adalah berniat mengagalkan kerjasama ini.

“Yakinlah. Berasaskan rekod lebih 60 tahun UMNO/BN memerintah Malaysia, kita terbukti adil kepada semua pihak dan kaum serta agama. Begitu juga PAS, mereka juga terbukti adil kepada semua sebagaimana rekod mereka memerintah dan Kelantan serta Terengganu.

UMNO memang parti orang Melayu dan Bumiputra, namun sangat jelas UMNO juga adalah parti yang menghormati kepentingan agama dan kaum lain dalam negara ini sesuai dengan apa yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Sungai Siput dan PAS Kawasan Sungai Siput di Kediaman Ketua UMNO Bahagian terbabit, malam tadi.

“Saya meminta dan berharap agar rakyat dalam negara ini menyokong kerjasama UMNO-PAS. Kedua-dua parti ini bersama dengan kompomen BN yang lain akan menjadi parti yang lebih baik daripada Kerajaan PH sekarang.

“Kita akan menawarkan yang terbaik dan menjaga kepentingan rakyat tanpa mengira sesiapa dalam negara ini.”

Jelas beliau, UMNO dan PAS berbeza dengan parti dalam Kerajaan PH.

“Kerajaan PH terbukti gagal memimpin negara. Rakyat tidak diberikan pembelaan sebagaimana yang mereka janjikan.”

Justeru tegasnya, UMNO-PAS bersama rakan komponen BN akan berkhidmat dan menawarkan yang terbaik kepada rakyat Malaysia berbanding Kerajaan PH.

Turut sama memberikan ucapan dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan juga pemimpin PAS Ustaz Idris Ahmad bersama Datuk Zulkifli Harun selaku Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.