Elak Berpuak-puak, Jangan Ada Tukang Kipas Dalam UMNO – Mahdzir


JEMPOL, 30 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menggariskan empat strategi penting yang perlu diterapkan dalam pemikiran dan tindakan semua ahli UMNO bagi menyusun langkah ke hadapan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, faktor tersebut ialah ketaatan kepada kepimpinan dengan mengelak daripada perbuatan berpuak-puak.

“Jangan ada tukang kipas yang mengapi-apikan pemimpin hingga situasi seperti terbakar dan tidak membawa apa-apa faedah kepada parti.

“Dalam menghadapi situasi ini, parti hendaklah diletakkan di hadapan mendahului mana-mana pemimpin,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jempol di sebuah hotel di Bahau dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Mohd. Salim Sharif.

Mahdzir berkata, semua ahli parti perlu bersiap sedia mulai sekarang bagi menghadapi kemungkinan kerajaan yang memerintah akan mengadakan pilihan raya umum (PRU) lebih awal daripada tempoh sebenar.

Dalam hal ini, katanya, pemimpin mesti memastikan semua orang yang layak terutamanya dalam keluarga sendiri mendaftar sebagai pemilih.

Menurutnya, strategi keempat ialah ahli UMNO di semua peringkat mesti mempunyai keazaman untuk menang dalam PRU akan datang.

Lebih 500 perwakilan dari 62 cawangan UMNO bahagian itu hadir dalam mesyuarat kali ini.

Ia menjadi lebih bermakna apabila para pemimpin Pas yang diketuai Yang Dipertua Pas Kawasan Jempol, Mohd. Fairuz Mohd. Isa turut hadir dalam majlis perasmian berkenaan. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.