Dengan Izin Allah, PRU-15 Milik Kita – Najib

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin UMNO akan bangkit daripada kekalahan dan akan merampas kembali tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Najib berkata, oleh itu, ahli-ahli UMNO diminta untuk lawan dan berjuang habis-habisan bersamanya untuk memastikan misi itu tercapai lebih-lebih lagi melihat kepada prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang semakin teruk selepas setahun memegang pemerintahan negara.

“Jangan takut, jangan biar saya berseorangan dalam perjuangan. Saya tidak minta berguling di jalan raya, gunakan platform media sosial sudah cukup.

“Kita mesti lawan kerana kita dipihak yang benar. Insya-Allah dengan kekuatan kita, bantuan rakan kita daripada Pas, dengan izin Allah PRU-15 milik kita,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Gombak di sini hari ini.

Tambah Najib, PH telah menipu rakyat dalam PRU-14 untuk menang.

“Sebab itu sekarang mereka tidak panggil PH Pakatan Harapan tetapi Pakatan Hancing. Isu tol, isu harga barang, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan banyak lagi isu yang mereka tipu.

“Segala janji yang dikatakan sebelum menang PRU tidak dikotakan malah keadaan ekonomi negara yang sedang meningkat naik semasa pemerintahan BN kini sudah semakin merudum.

“Sudah dapat mandat patut tunjuk lebih baik dari BN, tetapi hari ini lebih teruk dari BN. Sebab tu ramai orang cakap rindu zaman BN, zaman DSN (Datuk Seri Najib) sebab kita tadbir negara jauh lebih baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.