Terima Kasih Akar Umbi Kerana Masih Setia Bersama UMNO – Khaled

 

PADANG BESAR, 29 Jun – Terima kasih akar umbi kerana masih setia bersama UMNO….

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun ramai pemimpin UMNO yang keluar parti tetapi parti keramat ini masih utuh kerana kesetiaan akar umbi yang tidak pernah luntur.

“UMNO tidak boleh mati walau ada orang talkinkan UMNO… UMNO tidak boleh mati sebab kita ada akar umbi yang kuat… terima kasih kerana setia bersama UMNO.

“Saya bangga kerana kekalahan UMNO pada pilihan raya lalu bukan asas untuk akar umbi tinggalkan parti walaupun ramai pemimpin parti yang lari,” ujar beliau ketika berucap merasmikan mesyuarat bahagian perwakilan UMNO bahagian Padang Besar, hari ini.

Tambah Khaled, perjuangan UMNO bukanlah semata-mata kerana kuasa dan kedudukan tetapi perjuangan UMNO adalah kerana parti ini mempunyai prinsip dan pendirian.

“Kita berjuang bukan kerana kedudukan dan kuasa, UMNO wujud juga bukan kerana semata-mata untuk pilihan raya tetapi adalah kerana memperjuangkan orang Melayu dan Islam.

“Sebagai orang Islam apatah lagi sebagai orang politik, kita mahu menjadi orang Islam yang lebih baik dan sebagai sebuah parti, kita mahu UMNO yang lebih baik dari dulu.

“Maka dikesempatan mesyuarat ini, ambillah peluang untuk menilai dan menetapkan hala tuju parti,” ujar beliau lagi.

Justeru katanya, semua pihak harus merangsang dan menyuburkan komitmen juga kesetiaan terhadap parti.

“Melalui mesyuarat perwakilan inilah, kita mengkaji agar parti terus relevan dan bangkit semula membawa keyakinan agar rakyat akan terus menyokong kita pada PRU-15 nanti,” tegas beliau.

Mengulas berkaitan kerjasama UMNO-PAS pula jelas Khaled, jika dulu kedua-dua parti ini terpisah dengan songkok hitam dan kopiah putih tapi kini berkat dan hikmah kekalahan, segala permusuhan telah dilupakan.

“Kita nak lihat kerjasama ini sampai ke tahap yang tidak pernah terlihat sebelum ini….

“Situasi politik dalam negara hari ini menyaksikan agenda Melayu dan kedudukan Islam tidak dipentingkan oleh kerajaan masa kini atau boleh kita katakan diabaikan.

“Jadi, kerjasama UMNO dan PAS ini bukan sebab kita dalam blok pembangkang tetapi kerana orang Melayu dalam negaranya sendiri memerlukan kekuatan politik ampuh untuk mengimbangi dasar karut yang diperkenalkan oleh kerajaan PH,” luahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.