Penyatuan UMNO-PAS Demi Kalimah ‘Lailahaillallah’

POKOK SENA, 29 Jun – Ketua UMNO bahagian Pokok Sena Datuk Said Ali Syed Rastan berkata, kerjasama UMNO dan PAS bukan kerana ada kepentingan tertentu tetapi kerana kepentingan untuk mempertahankan kalimah ‘Lailahaillallah’.

Ujar beliau, sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pucuk pimpinan negara, agama Islam dilihat semakin dicabar walaupun ia merupakan agama rasmi negara ini.

“Kita berasa marah dan terancam bukan kerana kalah pada PRU-14 tetapi kerana agama Islam dicabar begitu teruk. Tidak pernah terbayang oleh kita bahawa agama Islam sebagai agama rasmi negara akan tercabar bila kita tidak lagi memerintah.

“Inilah hikmah kekalahan BN pada PRU lepas iaitu untuk kita melihat keadaan ini… walaupun majoriti kita adalah Melayu Islam tetapi kita seakan minoriti.

“Jadi, kerana itulah UMNO dan PAS bekerjasama, demi kalimah ‘Lailahaillallah’. Inilah semulia-mulia kerja yang kita lakukan bersama PAS,” ujar beliau ketika berucap di mesyuarat persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pokok Sena, semalam.

Tambah beliau, UMNO perlu menimba ilmu daripada PAS untuk belajar menjadi pembangkang yang berwibawa dan seterusnya merampas negeri Kedah dalam PRU-15 nanti.

“Justeru, saya berharap Wanita, Pemuda dan Puteri, letaklah semua masalah ke tepi. Kita tidak mampu jadi kuat kalau berasingan tetapi kita akan kuat kalau bergerak bersama.

“Ingatlah bahawa matlamat kita PRU-15,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.