Yang Retorik Itu PH, Bukan Kerjasama UMNO-PAS – Mahdzir

POKOK SENA, 28 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid membidas pelbagai pihak yang mengatakan kerjasama UMNO dan PAS hanya satu retorik.

Jelas beliau, tuduhan yang dilemparkan ini adalah bertujuan untuk merosakkan hubungan baik dua hala kedua-dua parti ini.

“Saya rasa orang yang cakap begini dia pun tak faham apa itu maksud retorik. Retorik itu dikaitkan dengan pengucapan.

“Kalaulah sudah sampai ke muktamar PAS membawa usul secara rasmi, dibahaskan kemudian diluluskan dan kita UMNO pula bincang dalam Biro Politik dan dibawa dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO, mana datang retoriknya? Maknanya itu kerjasamalah….

“Retorik ni Pakatan Harapan (PH). Dap hari-hari nak kuasa, PPBM dengan cara PPBM, PKR dok (asyik) tanya tarikh bila bila bila… Amanah ni ikut je,” ujar beliau kepada media selepas merasmikan persidangan sayap-sayap UMNO Bahagian Pokok Sena di Bangunan UMNO Kedah, hari ini.

Tambah beliau, kerjasama UMNO dan PAS akan terus dieratkan dan yang pasti, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti, di mana sahaja PAS bertanding maka UMNO tidak akan bertanding dan begitu juga sebaliknya.

Selain itu, beliau turut menyeru kepada semua ahli UMNO agar terus bermuhasabah dalam memastikan UMNO kembali bangkit.

“Kita boleh memperkukuhkan balik kekuatan UMNO dengan ada keinsafan iaitu 2018 selain kalah sebab manifesto PH, selain adu domba dalam bentuk fitnah tapi kita kena akui parti kita sendiri tidak begitu kukuh.

“Bila tidak kukuh, akhirnya kalah kerana perangai sesama. Sepatutnya kita bermuhasabah diri, tidak lagi ada nak naikkan Si A, nak naikkan Si B atau C.

“Apa yang dibawa oleh parti kita, kita patut terima kerana apa yang parti bawa adalah yang terbaik untuk semua,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.