Walau Banyak Kekangan…. Pelbagai Himpitan Tapi Perjuangan UMNO Tetap Diteruskan – Ghazalie


TAWAU, 28 Jun – Tiada yang indah dalam pelbagai himpitan dan kekangan namun usaha bagi memastikan perjuangan UMNO sebagai parti yang mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara tetap diteruskan.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing berkata dalam keadaan sekarang, UMNO menerima hakikat sebagai pembangkang yang melalui pelbagai cabaran namun tidak sesekali melunturkan semangat perjuangan.

“Saya cuba bergerak dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tawau serta melakukan persidangan yang termaktub dalam perlembagaan parti walaupun UMNO tidak lagi berkuasa dan banyak kesukaran.

“Buat masa ini, kita sedang lakukan dan akan terus melaksanakan perancangan untuk bergerak ke seluruh pelusuk kampung bagi menerangkan situasi kerajaan hari ini dan hak-hak rakyat yang telah ditarik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Ghazalie lagi golongan petani, buruh kasar dan peniaga kecil-kecilan yang selama ini menambahkan kerancakan ekonomi di Tawau kini cukup terkesan apabila permainan politik yang tidak matang oleh PH.

“Bukan sahaja ahli-ahli UMNO yang terkesan tapi golongan rakyat keseluruhan di Tawau ini juga sangat terasa.”

Mengenai persidangan UMNO Bahagian Tawau, beliau memaklumkan bahawa persediaan sedang dilakukan dengan bekas Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan merasmikan persidangan tersebut seterusnya merasmikan pejabat bahagian UMNO Tawau.

“Mesyuarat persidangan UMNO Tawau akan bersidang pada 20 Julai (Sabtu) bertempat di hadapan pejabat UMNO Tawau dan juga akan dirasmikan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Kita yakin terhadap UMNO dan harapan rakyat terhadap parti ini juga sangat tinggi untuk kembali mengambil tampuk pemerintahan negara dan negeri Sabah,” katanya lagi – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.