PH Akan Jadikan Hutang Rasmi Negara Cecah RM1 Trilion Akhir Tahun Depan


KUALA LUMPUR, 28 Jun – Selepas banyak membuat pinjaman pada tahun lepas, kerajaan Pakatan Harapan (PH) terus menambah hutang negara dengan kadar yang jauh lebih pantas berbanding era Barisan Nasional (BN), bidas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Dalam lontaran di Facebook, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, tidak sampai setengah tahun 2019 PH telah meminjam RM74.3 bilion iaitu RM67 bilion sukuk tempatan serta RM7.3 bilion bon Samurai dan bayar balik RM17.7 bilion.

“Semalam, Menteri Kewayangan pinjam lagi RM4 bilion. Bayar balik tahun 2039.

“Maka hutang rasmi negara hari ini naik ke RM797.4 bilion berbanding RM686.8 bilion pada akhir tahun 2017 di bawah BN.

“Bulan depan kita cecah RM800 bilion. Belum lagi mengambil kira duit RM82 bilion Petronas yang dipaksa bayar kepada kerajaan PH,” tegas Najib.

Apa yang menghairankan ujar Najib lagi, Lim Guan Eng berkata pinjaman 1MDB sebanyak RM30 bilion boleh menjahanamkan negara walaupun ada projek-projek bernilai RM140 bilion seperti Bandar Malaysia dan RM40 bilion bagi projek Tun Razak Exchange (TRX) serta perjanjian penyelesaian dengan IPIC.

“Tapi dia tambah hutang negara dengan sebanyak RM56.6 bilion net dalam enam bulan sahaja pula.

“Sekarang dia sedang berkunjung ke China untuk pinjam bon Panda.

“Jika kadar ini berterusan, hutang rasmi negara akan cecah RM1 Trilion pada akhir tahun depan,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.