Kembalikan Integriti SPRM Untuk Adil, Tegas Dan Berani… Tolak Diperkudakan

PUTRAJAYA, 28 Jun – Gerakan Tuntut 1.0 hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikembalikan integritinya untuk terus adil, tegas dan juga berani setelah hari ini ia seakan
diperkudakan oleh tangan-tangan parti politik.

Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar berkata, SPRM kini yang diterajui oleh Latheefa Koya dilihat hilang integriti dan tidak mustahil semakin hari semakin kabur tugasnya di samping mempunyai terlalu banyak spekulasi.

“Rakyat semakin kabur dengan integriti SPRM pada hari ini apatah lagi setelah Latheefa Koya dilantik sebagai Pengerusi SPRM. Rakyat mengharapkan SPRM terus adil, tegas dan juga berani namun ia seolah-olah telah diperkudakan oleh tangan-tangan parti politik.

“Kita hari ini ingin melihat SPRM terus disegani dan dihormati masyarakat, bukannya tunduk kepada mana-mana pihak termasuklah pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika sidang media di hadapan Pejabat SPRM, hari ini.

Katanya, dalam penyiasatan SPRM hari ini seperti ada satu dendam politik, dimana rakyat didedahkan dengan berita-berita sensasi, contohnya kes 1MDB yang tidak selesai, kes Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan sebagainya.

“Dimana kes-kes pemimpin-pemimpin kerajaan hari ini, kenapa senyap sunyi?” soal beliau.

Terdahulu, Tuntut 1.0 menghantar memorendum kepada SPRM yang menyatakan hasrat untuk mengembalikan SPRM menjadi satu badan yang betul-betul bebas daripada cengkaman politik.

“Kalau imbas kembali kes-kes rasuah sebelum ini seperti Lim Guan Eng semasa beliau menjawat sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu tuduhan rasuah ke atasnya adalah berkaitan pembinaan terowong dasar laut dan pembelian rumah banglo, namun senyap.”

Tambahnya lagi, pada hari ini SPRM seolah-olah mendiamkan diri apabila kes berprofil tinggi dilakukan oleh pemimpin mereka seperti Guan Eng (terowong dasar laut dan banglo) dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (tuduhan dari Haziq Aziz) sedangkan mereka ini mewakili wajah Malaysia.

“Ini adalah suatu perkara yang sangat serius dan tidak boleh dibiarkan di dalam suasana Malaysia Baharu ini.

“Gerakan Tuntut 1.0 amat berharap melalui serahan memorandum ini dapat mengembalikan semula integriti SPRM,” tegasnya lagi.

Menerusi memorandum ini Gerakan Tuntut 1.0 menegaskan dan menuntut SPRM supaya:

1. Tiada lagi campur tangan politik dalam apa jua siasatan tidak kira daripada mana-mana parti politik.

2. Siasatan yang lebih telus dan adil terhadap kes-kes berprofil tinggi di Malaysia.

3. Siasatan segera berkaitan kesahihan tuduhan rasua Haziq Aziz terhadap YB Azmin Ali.

4. Menuntut siasatan institusi SPRM yang lebih adil, telus dan berani agar integriti SPRM terus dipercayai.

5. Buktikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Lateefa Koya bertindak dengan prinsip ‘Without Fear or Favour’. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.