Pendukung UMNO Perlu Memeta Dan Terjemah Perubahan… Bukan Sekadar Slogan, Pekikan Semangat


KUALA LUMPUR, 27 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata untuk bangkit kembali, UMNO perlukan lebih dari sekadar menjadi pemerhati dan belajar dari kesilapan.

Tegasnya, UMNO mesti mempunyai idea dan tawaran yang baharu, segar dan menjawab keperluan semasa.

“Kita tidak boleh terus-menerus bergantung kepada apa yang telah dan pernah kita buat. Kita mesti perkemas struktur dan tadbir urus parti. Kita mesti dekati kelompok masyarakat yang baharu.

“Zaman sudah berubah. Konteks dan cabaran semasa juga sudah berubah. Jadi, kita mesti memeta perubahan dan menterjemahkannya dengan cara yang serius, ikhlas dan bermakna.

“Bukan sekadar pada slogan dan pekikan semangat,” ujarnya dalam dalam satu amanat di Facebooknya sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang pada 30 Jun ini.

Sehubungan itu, Khaled menganjurkan agar semua pemimpin dan ahli parti mengambil kesempatan persidangan pada kali ini untuk benar-benar memikirkan idea baharu dan menjadikan mesyuarat tersebut sebagai sesi sumbang saran yang konstruktif dan bernas.

“Bersama-samalah kita bantu memulihkan parti ini.

“Kita angkat dan letakkan ia kembali pada kedudukan yang terhormat, seperti mana yang telah parti ini lakukan kepada kita sebagai sebuah bangsa dan negara,” jelasnya.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu turut yakin banyak perkara yang telah UMNO insafi dan pelajari setelah setahun bergerak sebagai pembangkang.

“Kita belajar menguruskan parti dalam serba kekurangan. Kita belajar menguruskan kehendak pemimpin dan tuntutan ahli dalam kesusutan kepercayaan dan kesetiaan.

“Kita kenal lawan. Kita nampak rupa dan warna sebenar mereka yang kita anggap kawan.

“Kita belajar mendekati masyarakat dan terus menyantuni mereka tatkala kerajaan gagal mengotakan janji. Kita belajar dan belajar,” tegasnya lagi.

Justeru itu tambahnya, semua itu adalah pengalaman penting yang layak mematangkan semua pendukung parti. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.