Isu Pencemaran Pasir Gudang: MB Johor Tidak ‘Gentleman’


ISKANDAR PUTERI, 26 Jun – Satu memorandum berhubung ketidakcekapan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menangani isu pencemaran di Pasir Gudang telah diserahkan oleh Datuk Ir. Haji Hasni Mohammad di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar pagi ini.

Antara yang turut hadir dalam penyerahan memorandum tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional dan PAS, Bekas-bekas Wakil Rakyat, wakil parti komponen MCA dan MIC.

Antara lain yang turut serta ialah Ustaz Abdullah Hussain, Pesuruhjaya PAS Negeri Johor dan kepimpinan serta 23 buah Pertubuhan-Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sekitar Negeri Johor hadir bagi memberi sokongan kepada Hasni selaku Ketua Pembangkang Johor.

Namun, sedikit mengecewakan apabila memorandum itu tidak dapat diserahkan secara terus kepada Menteri Besar Johor iaitu Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Menteri Besar Johor telah mewakilkan Setiausaha Sulit Khas beliau, Muhd. Shamsuddin Paijan untuk menerima memorandum itu pada jam 10 pagi.

Selaku kerajaan yang kononnya bersifat baharu, Menteri Besar Johor seharusnya berjiwa besar untuk turun dan keluar dari Pejabat Menteri Besar untuk bertemu serta menerima memorandum tersebut.

Ini jelas menunjukkan beliau selaku Menteri Besar Johor gagal menunjukkan sifat ‘gentleman’ dan takut berhadapan dengan rakyat apabila berlaku sesuatu krisis di dalam negeri Johor.

Sebelum penyerahan memorandum tersebut, Hasni dalam ucapan ‘speaker corner’ menjelaskan bahawa isi kandungan memorandum ini menuntut supaya kerajaan negeri segera membentangkan pelan strategi pengurusan kes secara menyeluruh kepada rakyat, termasuklah mengeluarkan senarai pihak-pihak yang terlibat dengan segera.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan agar kerajaan Pakatan Harapan Johor di bawah pimpinan Datuk Dr. Sahruddin Jamal supaya menghentikan permainan politik dan segera menyelesaikan kes pencemaran yang berlaku di Pasir Gudang.

Dalam ucapan itu juga, Hasni menyelar kegagalan Pengerusi Jawatankuasa yang memegang portfolio Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor yang gagal memastikan isu kritikal di Pasir Gudang ini tidak berulang dan sepatutnya sudah diselesaikan.

Ujar Hasni lagi, Pengerusi Jawatankuasa tersebut seharusnya meletakkan jawatan serta-merta atas kegagalan mereka menangani isu pencemaran ini.

Berikut merupakan empat (4) tuntutan yang dikemukakan oleh Datuk Ir Haji Hasni Mohammad di dalam memorandum yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri Johor.

1. Kerajaan Negeri mesti mengambil pertanggungjawaban dalam kes ini akibat kegagalan menjalankan tugas serta mandatnya sekalipun selepas insiden kali pertama pada Mac yang lalu;

2. Kerajaan Negeri mesti membentangkan dengan segera pelan dan strategi pengurusan kes ini termasuklah mengeluarkan senarai pihak-pihak terlibat yang telah dikenal pasti;

3. Kerajaan Negeri mesti menubuhkan dengan sesegera mungkin satu pasukan khas yang lengkap dan cekap untuk mengurus, mengendali dan memantau keseluruhan kes ini dan;

4. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar Dan Alam Sekitar serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan Dan Warisan Negeri Johor mesti meletakkan jawatan serta merta atas kegagalannya memastikan isu kritikal ini bukan sahaja tidak berulang, malah diselesaikan dengan berjaya. – umnojohorofficial.com

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.