UMNO Enggan Terikut Rentak PH, Terus Bergerak Ke Depan Perkasakan Parti – Suraya


KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Suraya Yaakob percaya parti ini tidak akan terikut-ikut dengan gendang dan lagu Pakatan Harapan (PH) sebaliknya akan terus bergerak dan tidak lagi menoleh ke belakang dalam usaha memperkasakan parti.

Menurut beliau, UMNO akan terus konsisten memperkasa dan memulihkan parti dalam usaha melaksanakan tugas serta tanggungjawab kepada rakyat dan paling utama sudah tentu meletakkan perjuangan UMNO terus melangkah ke depan.

“Kita akan terus bergerak meyakinkan rakyat bahawa kita mampu dan sedia menggalas tanggungjawab untuk mewakili mereka dan itulah hasrat serta segala gerak kerja kita yang selama ini telah dilaksanakan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menaruh keyakinan rakyat akan memberi kepercayaan semula kepada UMNO dan hari ini adalah masanya kepada semua penggerak parti melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Suraya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang seterusnya menambah memanglah sebagai pembangkang ianya bukan satu tugas yang mudah untuk berkhidmat kepada rakyat namun itu juga bukanlah halangan untuk meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat umum.

“Insya-Allah… saya penuh yakin dan percaya kita mampu sama-sama berusaha untuk memperkasa dan memulihkan parti, kita juga akan meneruskan khidmat bakti kita. Biarlah mereka dengan cara mereka dan kita pula dengan gerak kerja kita.

“Kita teruskan bersama-sama dan percayalah rakyat akan kembali memberi kepercayaan kepada kita. Tambahan pula pada hari ini dengan persidangan peringkat bahagian, gunalah medium tersebut sebaik mungkin untuk sama-sama kita memberikan pandangan,” ujarnya.

Ujarnya lagi yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah, segala pandangan yang dilontarkan tentunya akan menerbitkan satu kejayaan yang amat bermakna kepada UMNO untuk parti terus bergerak ke depan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.