Enggan Buat Ujian Poligraf Dan Sumpah Laknat, Azmin Tolak Peluang Bersih Nama – Lokman


KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, keengganan Menteri Hal Ehwal Eonomi, Datuk Seri Azmin Ali untuk melakukan ujian poligraf seakan jelas membuktikan bahawa sememangnya dia terlibat dalam jenayah seks luar tabii.

Jelas beliau, dalam Islam apabila seseorang itu dituduh dan tidak mempunyai cara lain bagi membuktikan dirinya tidak bersalah maka individu tersebut boleh untuk bermubahalah dengan melafazkan sumpah maka Azmin seharusnya berani untuk bertindak sedemikian bagi menegakkan kebenaran.

“Bila saya cabar dia, dia cakap saya ‘cicak mengkarung’ tapi keengganan dia melakukan ujian poligraf bagi membuktikan beliau berkata benar bahawa pelaku jenayah seks luar tabii bersama Haziq itu bukan beliau, jelas membuktikan bahawa manusia di dalam video itu sememangnya beliau. Ujian itu boleh membuktikan beliau seorang penipu atau tidak, tidak timbul soal saya cicak mengkarung atau tidak.

“Kalau tidak mahu buat ujian poligraf, bersumpahlah dengan dengan kalimah Wallahi, Wabillahi, Wattallahi bahawa individu di dalam video seks luar tabii itu bukan beliau sepertimana disaran oleh beberapa pihak.

“Jika Azmin berani bersumpah maka sudah pasti rakyat boleh menerima keputusan Tun Mahathir untuk mengekalkan Azmin sebagai Menteri Ekonomi,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Namun malangnya tambah Lokman, Azmin telah menolak peluang untuk membuktikan beliau difitnah dan bukan pelaku seks luar tabii apabila menolak saranan melakukan ujian poligraf dan menolak saranan agar beliau bermubahalah.

“Maka dengan dua penolakan ini, Azmin secara tidak sengaja mengakui bahawa beliau adalah individu di dalam video tersebut dan beliau tidak dapat menafikannya dengan bersumpah atau menjalani ujian poligraf,” katanya.

Semalam Azmin mengecam cabaran Lokman supaya mengambil ujian pengesan bohong melalui alat poligraf.

Azmin menggelar Lokman sebagai ‘cicak mengkarung’ dan berkata Lokman itu tidak sepatutnya menentukan bagaimana pihak berkuasa menjalankan penyiasatan terhadap skandal video seks sejenis yang didakwa membabitkan dirinya.

Azmin juga berkata beliau telah mengambil langkah undang-undang berdasarkan nasihat peguamnya, termasuk laporan qazaf yang dibuat kepada pihak berkuasa agama serta memberikan kerjasama terhadap siasatan polis.

Apabila Azmin terus diasak wartawan sekiranya akan menyambut cabaran Lokman, Azmin enggan mengulas lanjut dengan menyoal jika Lokman ialah peguam negara yang baru.

Baru-baru ini tular di media sosial video bersiri sodomi yang dikatakan melibatkan Azmin bersama seorang lelaki bernama Haziq.

Susulan itu, Haziq telah pun membuat pengakuan bersumpah bahawa sememangnya dia adalah individu yang terlibat dalam video tersebut. – MediaUMNO