Desakan Letak Jawatan Isu Moral: Mahathir Yang Sekarang Bukan Mahathir Yang Dulu


KEPALA BATAS, 25 Jun – Mahathir yang sekarang bukan Mahathir yang dulu….

Pemerhati Politik Azizi Safar berkata, kenyataan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak ada keperluan untuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali meletakkan jawatan kerana skandal video seks palsu ‘bukan cara Malaysia’ amat berbeza dengan cara ketika beliau menjadi Perdana Menteri ke empat.

Jelas beliau, isu seks melibatkan pemimpin negara bukan pertama kali terjadi malah ketika Tun menjadi Perdana Menteri dahulu turut ada isu seks yang melibatkan pemimpin seperti kes yang melibatkan Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Rahim Thamby Chik pernah dituduh oleh Dap terlibat dalam skandal seks dengan budak bawah umur semasa jadi Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

“Dia letak jawatan Ketua Menteri Melaka setelah diminta berbuat demikian oleh Anwar Ibrahim yang semasa itu jadi Timbalan Perdana Menteri. Dia juga ‘bercuti dari jawatan’ Ketua Pemuda UMNO Malaysia setelah didesak untuk berbuat demikian oleh pimpinan kanan Pemuda UMNO Malaysia yang pro-Anwar.

“Anwar Ibrahim pula semasa jadi Timbalan Perdana Menteri telah dipecat dari jawatan itu oleh Tun sendiri setelah didakwa melakukan seks songsang dan terlibat dengan salah guna kuasa. Malah dia juga dipecat daripada UMNO. Tiada video intim ditularkan untuk menyokong dakwaan terhadap Anwar semasa itu. Kedua-dua peristiwa ini berlaku semasa tun jadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO,” ujar beliau kepada UMNO-Online

Tambah Azizi, tindakan dan kenyataan Tun kini ternyata amat berbeza apabila ia melibatkan Azmin walaupun terdapat video dan pengakuan oleh individu yang mengaku menjadi pasangan bersemburit.

“Jadi, kenyataan Tun kononnya meletakkan jawatan kerana dituduh terlibat dengan skandal seks bukan cara Malaysia berbunyi amat pelik. Kenapa nadanya berbeza kini? soal beliau.

Tun berkata demikian ketika ditanya media mengenai tulisan Anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Kadir Jasin yang secara tersirat mengatakan menteri yang terbabit dalam skandal seks perlu meletak jawatan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.