Tragedi Pasir Gudang: “Buatlah Kerja Betul-betul, PH Jangan Perjudikan Nyawa Rakyat” – Bidas Najib


KUALA LUMPUR, 24 Jun – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) jangan memperjudikan nyawa rakyat kerana kes pencemaran gas toksik sudah berlaku dua kali di negeri Johor dalam tahun ini sahaja.

“Buatlah kerja dengan betul-betul. PH jangan perjudikan nyawa rakyat,” tegasnya dalam hantaran di Facebook.

Menurutnya yang merujuk kepada kes terkini yang berlaku di Pasir Gudang, dalam masa beberapa hari ini tujuh buah sekolah di Pasir Gudang telah diarahkan tutup sementara dan berpuluh murid-murid pula dihantar untuk dirawat akibat kesan gas toksik.

Bidasnya lagi, bulan Mac lalu, kerajaan PH telah sahkan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang telah dibersihkan sepenuhya.

“Disahkan selamat, mereka kata.

“Hari ini pula, Menteri PH kata sisa toksik di Sungai Kim Kim sebenarnya belum lupus sepenuhnya.

“Kalau macam ini, bagaimana rakyat nak percaya kerajaan?,” soalnya lagi.

Tegasnya juga, perkara sedemikian tidak pernah berlaku semasa kerajaan Barisan Nasional BN memerintah.

Pada Mac lalu, rakyat Pasir Gudang diancam pencemaran udara yang teruk kesan dari pembuangan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim oleh pihak yang tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan beribu rakyat menjadi mangsa.

Sebagaimana dilaporkan media perdana dalam satu laporan pada 20 Mac, menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, seramai 5,848 kanak-kanak dan orang dewasa dirawat sejak 8 Mac lalu akibat pencemaran sisa beracun di sungai tersebut.

Daripada jumlah itu, 951 mangsa dimasukkan dalam wad, manakala 25 pula dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). – MediaUMNO