Mukhriz Jawab ‘Tak Tahu’ Tun M Boleh Diterima… Tapi Kenapa Jawapan Sama Dari Najib Tidak Diterima?


ALOR SETAR, 24 Jun – Jika dulu Tun Mahathir Mohamad pernah menolak apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jawapan ‘tidak tahu’ di dalam isu SRC International Sdn. Bhd maka bagaimana pula kini Tun boleh menerima jawapan sama yang diberikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkaitan dana 1MDB yang disalurkan ke akaun UMNO Kedah?

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli berkata, untuk menggunakan duit UMNO negeri terbabit, Mukhriz juga masih perlu menandatangani cek sebagai Pengerusi Negeri ketika itu, sama seperti Najib di dalam kes SRC.

“Sama seperti kes SRC, Mukhriz juga masih perlu tandatangan untuk menggunakan wang itu (dana didakwa dari 1MDB) sebagai pengerusi ketika itu.

“Jika kenyataan Mukhriz boleh diterima oleh Tun Mahathir maka kenyataan Najib juga sepatutnya diterima jika menggunakan logik yang sama,” ujar beliau dalam satu kenyataan media, hari ini.

Semalam Mukhriz yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah berkata tidak tahu mengenai wang yang disalurkan ke akaun UMNO Kedah.

Beliau memberi alasan, segala urusan berkaitan dana ketika itu diserahkan sepenuhnya kepada Bendahari UMNO Negeri Kedah, Datuk Azeez Abdul Rahim.

Jumaat lalu SPRM memfailkan permohonan untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

SPRM sudah mengenal pasti 41 individu dan entiti yang menjadi reponden kepada permohonan tersebut.

Menerusi tuntutan tersebut SPRM mahu menuntut semula wang sebanyak RM270 juta yang dikatakan telah diberikan kepada pelbagai pihak termasuk UMNO Kedah. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.