Mujahid, Jangan Politikkan Kursus Haji… Tubuh RCI TH Jika Yakin Benar, Cabar Dr Asyraf


KUALA LUMPUR, 24 Jun – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sekali lagi menempelak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa yang mempolitikkan kursus ibadat haji.

“Hentikanlah mempolitikkan Kursus Perdana Haji. Biarkan bakal-bakal jemaah memfokuskan kepada hal-hal berkaitan penyempurnaan ibadah haji dan bukannya dipaksa mendengar ceramah politik Kekanda mengapi-apikan perbalahan dan prejudis.

“Kadang-kadang terdetik, siapa sebenarnya Pembangkang atau Kerajaan ini?,” tegasnya dalam satu lontaran di Facebook.

Dr Asyraf berkata demikian mengulas mengenai sebuah video propaganda Mujahid yang kini terkenal dengan gelaran Kekanda gara-gara warkahnya kepada Nurul Izzah Anwar satu ketika dahulu, di sebuah program Kursus Perdana Haji peringkat Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Cabar Dr Asyraf, seharusnya Mujahid menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika beliau merasakan berada di pihak yang benar.

“Buat Kekandaku YB Dr Mujahid Yusof Rawa Kursus Perdana Haji bukan medan propaganda politik untuk menghasut bakal-bakal jemaah supaya marah dengan kerajaan terdahulu dan pengurusan Tabung Haji (TH) yang lalu.

“Jika YB berada pada kedudukan yang benar dan tiada apa yang hendak disorokkan, saya sekali lagi mencabar untuk YB Menteri menggesa kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai hal ehwal kewangan dan pelaburan Tabung Haji,” tegasnya.

Ini bertujuan supaya rakyat mengetahui perkara sebenar, jelas Dr Asyraf.

“Daripada awal penubuhan sehinggalah hari ini tak pernah dilaporkan TH rugi, bahkan bermula 2009, keuntungan bersih setelah ditolak cukai dan zakat, keuntungan TH mulai melangkaui angka lebih RM1 bilion.

“Tiba-tiba naik YB Menteri, TH dikatakan rugi, akaun ditipu dan macam-macam tuduhan dan dakwaan. Jika benar akaun dimanipulasi, Jabatan Audit Negara adalah badan pertama perlu keluarkan kenyataan kerana selama ini merekalah yang mengaudit akaun dan laporan kewangan TH.

“Parlimen juga harus bertanggungjawab kerana dibentangkan dan diluluskan setiap tahun di Parlimen. Sebab itulah yang terbaik tubuhkan segera RCI sebagaimana janji Pakatan Harapan (PH) juga dalam manifesto mereka,” ujar bekas Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu lagi.

Semalam, dalam Facebooknya juga, Dr Asyraf mendedahkan keluhan seorang bakal jemaah haji yang sedang menghadiri Kursus Perdana Haji mengadu amat tidak selesa dengan pengedaran bahan-bahan propaganda Kerajaan PH dengan pelbagai tuduhan liar serta tohmahan terhadap kerajaan lalu dan pengurusan TH yang lepas yang dijadikan salah satu bahan modul dalam kursus tersebut.

“Seharusnya medan Kursus Perdana Haji sebagaimana amalan sejak TH ditubuhkan dan sepanjang di bawah pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional terdahulu hanya difokuskan kepada aspek ibadah haji semata-mata dan tidak dicampur-adukkan dengan unsur-unsur perpolitikan yang akan menghilangkan roh ibadah haji yang bersifat ta’abudiyyah (perhambaan semutlaknya kepada Allah),” katanya. – Media UMNO