Kerajaan PH Perlu Jujur, Kongsi Fakta… Penduduk Berhak Dinasihati Langkah Dan Prosedur Kesihatan


JOHOR BAHRU, 24 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didesak untuk bertindak jujur dan segera berkongsi fakta mengenai krisis yang sedang berlaku di Pasir Gudang.

Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang Noor Azleen Ambros berkata rakyat berhak dimaklumkan mengenai langkah-langkah pencegahan dan keselamatan yang perlu mereka ambil untuk mengelakkan dari risiko terdedah kepada pencemaran.

“Rakyat juga berhak untuk mendapatkan nasihat daripada pihak berwajib mengenai langkah-langkah yang perlu dilakukan andainya mereka terkesan daripada pencemaran yang sedang berlaku.

“Penduduk Pasir Gudang tidak harus terus tinggal dalam keadaan yang tidak selamat, dan terus dibimbangi dengan masalah pencemaran yang seolah-olah tidak ditangani dengan serius oleh Kerajaan PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bidasnya, walaupun ketika ini ianya masih tidak melibatkan nyawa, namun tindakan daripada pihak kerajaan PH nampaknya masih layu dan longlai.

“Seolah-olah tidak ada simpati kepada mereka yang terkesan. Sewajarnya, kerajaan sudah boleh belajar dari kejadian Sungai Kim Kim yang berlaku hanya beberapa bulan lepas.”

Tegasnya, pengajaran dari segi pengurusan krisis, kepentingan mempunyai pelan pengurusan krisis, keutamaan untuk segera mengenal pasti punca dan lokasi sebenar pencemaran, selain yang paling mustahak adalah komunikasi yang jelas dan jujur kepada orang ramai untuk mengelakkan panik serta kejadian yang lebih buruk dari terus berlaku.

“Namun malangnya, ini semua tidak berlaku. Rakyat khususnya penduduk sekitar Pasir Gudang tidak diceritakan perkara yang betul mengenai krisis yang sedang berlaku. Hanya pengumuman mengenai keadaan yang kononnya terkawal, walhal perkara sebaliknya berlaku di lapangan seperti dalam gambar yang dikongsi orang ramai.

“Sekali lagi kami mendesak agar pihak kerajaan bertindak jujur dan segera berkongsi fakta mengenai krisis yang sedang berlaku.

“Kami mendoakan agar krisis kali ini dapat ditangani dengan segera dan secepat mungkin,” katanya lagi.

Dilaporkan, pelajar di lapan buah sekolah di Pasir Gudang, di sini, dipercayai mengalami insiden muntah dan sesak nafas, awal pagi tadi.

Antara sekolah-sekolah yang dipercayai terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, SK Pasir Putih 1, SK Pasir Gudang 2, SK Taman Pasir Putih 1, SMK Taman Megah Ria, SK Taman Rinting 2 dan SMK Bandar Seri Alam. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.