Bina Kekuatan, Kekalkan Semangat Berpasukan Dalam UMNO – Shahaniza


KUALA LUMPUR, 24 Jun – Mesyuarat UMNO Bahagian yang sedang rancak berlangsung sekarang ini adalah peluang kepada seluruh kepimpinan dan ahli akar umbi mengaplikasi semangat yang sedang membara agar dapat digembleng menjadi kekuatan bersama untuk membendung kerosakan di sebalik agenda Malaysia baharu.

Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, mesyuarat UMNO bahagian menjadi tumpuan ahli khususnya akar umbi untuk hadir dengan penuh semangat bagi memperbaiki parti dan meneruskan perjuangan agama, bangsa dan negara.

“Kekuatan UMNO itu secara keseluruhannya bermula dari akar umbi, selepas kita laksanakan mesyuarat Cawangan maka kini di peringkat Bahagian dan fokus kita pada Bahagian sangat penting agar strategi terbaik dapat diangkat.”

Sehubungan itu, beliau berkata, UMNO Maran akan terus membina kekuatan keseluruhan jenteranya dan menyemarakkan semangat perjuangan ahli-ahli parti selepas teruji oleh keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

“Saya amat menekankan kerja berpasukan dalam memimpin UMNO bahagian,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelasnya, peranan kerja berpasukan sangat penting untuk gerak kerja dan strategi yang dirancang antara pucuk pimpinan bahagian bersama akar umbi baik diperingkat Parlimen mahupun kawasan Daerah Undangan Negeri (DUN).

Shahaniza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang turut menjelaskan hala tuju yang jelas dibawa sebelum ini sudah nampak keberhasilan di peringkat akar umbi.

“Ini adalah kali pertama saya sebagai ketua Bahagian dalam mesyuarat perwakilan, sudah setahun saya menjadi ketua Bahagian dan akar umbi sudah nampak cara kepimpinan saya serta hala tuju yang saya bawa.

“Ucapan-ucapan saya akan diberikan terlebih awal agar perwakilan yang mewakili tiga DUN dan sayap-sayap dapat membahas ucapan dan dapat membincangkan secara serius.”

Maklum beliau mesyuarat perwakilan Bahagian Maran akan dirasmikan pada hari Sabtu, 13 Julai oleh Menteri Besar Pahang merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Jika dahulu sering diperdengarkan usul ekonomi, pendidikan dan sebagainya, tapi kali ini UMNO Maran akan membuat kelainan sedikit dan meminta perwakilan membuat persediaan awal dalam membahas ucapannya,” ujarnya lagi.

Mesyuarat UMNO peringkat Bahagian telah bermula 15 Jun lalu yang akan berlangsung selama dua bulan sehingga 15 Ogos depan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.