Kerjasama UMNO-PAS Formula Ampuh Tawan Semula Putrajaya


TANJONG KARANG 23 Jun – Penyatuan kerjasama politik di antara UMNO dan PAS adalah formula terbaik dan cukup ampuh kepada orang Melayu dalam memastikan tampuk kekuasaan negara ini yang terlepas kepada Pakatan Harapan (PH) dirampas semula dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, formula itu walaupun kelihatan ampuh tetapi ia perlu diperkukuhkan bukan sekadar untuk PRU-15, tetapi selamanya kerana orang Melayu yang membentuk majoriti rakyat Malaysia, bergantung kepada kekuatan kedua-dua buah parti tersebut, dengan tidak boleh lagi berpecah seperti sebelum ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penyatuan UMNO dan Pas memberikan kelebihan kepada pembangkang menjelang pilihan umum akan datang dan perkara itu disedari PH menyebabkan mereka seboleh mungkin tidak melihat ia menjadi kenyataan.

“Jika dikira majoriti (undi), calon yang dipertandingkan di atas tiket Barisan Nasional (BN) dan PAS pada PRU-14 lalu boleh menang. Ini kerana jika undi kedua-duannya dicampurkan, kita mampu mengkalahkan pihak lawan.

“Jika kita kekalkan permuafakatan ini, saya percaya calon UMNO dan PAS boleh menang pada pilihan raya akan datang dan janganlah berpecah lagi,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di sini hari ini.

Yang dihadiri Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar; timbalannya, Datuk Sulaiman Abd. Razak dan kesemua ketua sayap bahagian itu.

Dalam pada itu Ahmad berkata, UMNO perlu belajar daripada Pas untuk menjadi pembangkang yang berkesan, kerana PAS telah terbukti mampu berdikari sendiri selama ia bergelar pembangkang walaupun dengan sumber kewangan yang amat terhad.

“Kita kena ikut formula ini jika hendak tawan semula kerajaan, sebab PH cukup takut dengan gabungan ini dan jika dinilai kepada keputusan pilihan raya kecil sebelum ini, kita sudah buktikannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.