Bangkit Bela Rakyat Yang Kini Ditipu Oleh PH – Rizuan

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Seri Rizuan Abd Hamid menyeru ahli-ahli UMNO tetap bangkit bagi membela rakyat yang kini ditipu oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia itu, rakyat semakin lama semakin hilang keyakinan terhadap keupayaan pemimpin PH dalam mentadbir negara.

“Kini, kita sebagai pembangkang selain menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan PH, yang paling utama adalah untuk membela nasib rakyat yang telah ditipu dengan janji-janji bohong PH.

“PH sekarang sedang bergolak dan bergoncang dengan isu moral pemimpin, perpecahan dalaman jatuh-menjatuh antara satu sama lain.

“Rakyat sudah tidak yakin dengan menteri-menteri PH. Mereka ini penipu, pembohong, tidak berkemampuan dan berkelayakan,” katanya dalam ucapan di Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kepong yang dirasmikan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Ideal Convention Centre, Selayang, di sini, petang semalam.

Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, Mahadhir Sulaiman, Ketua UMNO Bahagian Segambut selaku wakil Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dan barisan kepimpinan Pas Kawasan Kepong.

Bukan itu sahaja, bidas Rizuan lagi selain kelayakan akademik yang dipalsukan, pemimpin-pemimpin PH juga sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain serta banyak membuat ketetapan yang membelakangkan Majlis Raja-Raja Melayu seperti isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom.

Dalam ucapannya Rizuan turut mengulas mengenai kerjasama antara UMNO dan PAS pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

“Kerjasama UMNO dan PAS amat penting, kerana kita hendak pastikan pilihan raya umum akan datang kita akan merampas kembali kuasa Putrajaya.

“Saya berharap piagam (UMNO PAS) akan menjadi sandaran dan panduan untuk kita bekerja menuju ke PRU-15,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan PAS yang hadir.

Selain itu ujarnya, muafakat UMNO dan PAS juga bertujuan memperkasa Melayu dan Islam serta untuk mempertahankan hak-hak Melayu dan Raja-raja Melayu.- Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.