UMNO Ucap Selamat Bermuktamar, Sambut Baik Aspirasi Muafakat Berpolitik

KUANTAN, 21 Jun – Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh pemimpin dan ahli PAS yang memulakan persidangannya hari ini.

Katanya, semoga Muktamar PAS pada tahun ini membuahkan kebaikan serta cetusan idea yang bernas demi kemaslahatan semua.

“Saya dan beberapa rakan pemimpin UMNO berpeluang hadir dan mendengar penyampaian ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar PAS bagi tahun 2019.

“Bagi pihak saya secara peribadi dan UMNO secara umumnya, kami menyambut baik pandangan serta saranan yang dianjurkan dalam ucapan dasar tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini merujuk kepada ucapan dasar oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Muktamar Tahunan PAS Ke-65.

Secara khusus, katanya, UMNO bersetuju bahawa:

a. Penyatuan ummah antara orang Islam dan Melayu mesti digembleng untuk menjadi satu lonjakan kebangkitan yang baik dan berfokus. Adalah sesuatu yang merugikan jika ummah ini dibiarkan terus berbalah dan berpecah.

b. Perpaduan nasional dalam konteks Malaysia, mesti dikukuhkan dengan lebih serius. Islam adalah agama yang meraikan kepelbagaian. Adalah penting untuk semua pihak termasuklah ahli politik menterjemahkan ajaran Islam yang sebenar sekali gus berusaha mendekati dan merapatkan hubungan antara kaum dan agama.

c. Jalan ke hadapan negara mesti dipimpin dengan menjadikan saranan serta aspirasi yang diajarkan Islam sebagai rujukan dan panduan. Ketelusan, dasar ekonomi yang baik serta pemeliharaan elemen asas kebangsaan seperti Bahasa Melayu mesti menjadi fokus yang tidak boleh dikompromikan.

Katanya, pada masa yang sama UMNO menyambut baik aspirasi muafakat dalam berpolitik yang dianjurkan oleh PAS.

“UMNO sentiasa memegang kepercayaan bahawa keterbukaan dan keanjalan kita dalam menggembleng perpaduan dan kekuatan politik adalah perkara yang sangat kritikal.

“UMNO akan memberikan komitmen dan kerjasama yang selayaknya untuk bersama-sama PAS bagi menyusun ikhtiar dan mencari pendekatan terbaik dalam mengukuhkan Malaysia dan Islam dari segenap segi.

“Selamat bermuktamar,” katanya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan (DUN) Rantau.

Mohamad yang mengetuai rombongan UMNO telah menghadiri Muktamar Tahunan PAS Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di sini hari ini. MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.