UMNO Rakam Tahniah Dan Terima Kasih, Lihat Ucapan Presiden PAS Bersamaan Konsep ‘Taawun’

KUANTAN, 21 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa melihat ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Muktamar parti itu sangat bersamaan dengan apa yang dilakukan hari ini dan ianya akan diberikan perhatian yang penting.

Sambil mengucapkan tahniah dan terima kasih atas jemputan kepada UMNO untuk menghadiri Muktamar tersebut, beliau seterusnya menambah Presiden PAS benar-benar menggariskan kaedah penyatuan tanpa meminggirkan kelompok lain.

“Kita ucap tahniah dan kita memberikan perhatian yang terperinci kepada ucapan dan ternyata ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang benar-benar menggariskan kaedah penyatuan tanpa meminggirkan kelompok yang lain.

“Ini satu teras yang saya kira penting yang boleh dikatakan sangat bersamaan dengan apa yang kita sendiri akan lakukan dan ini menandakan titik pertemuan ‘taawun’ atau kerjasama yang lebih mudah, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Muktamar PAS ke-65, di Kompleks SUKPA, Kuantan, di sini, hari ini bersama barisan kepimpinan UMNO yang diketuai Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau turut memberitahu delegasi daripada UMNO pada kali ini bertambah daripada sebelum ini setelah jemputan daripada PAS diperluaskan.

“Kami ucap terima kasih atas jemputan dan hari ini bukan sahaja semua penjawat utama kita daripada Jawatankuasa Pengurusan dan Biro Politik tetapi juga jemputan telah diperluaskan untuk kita dapat hadir dengan jumlah yang ramai,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut melihat apa yang diungkapkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memperlihatkan keyakinannya termasuklah soal kerjasama.

Malah katanya lagi kerjasama pelbagai pihak dan parti–parti lain akan memberi kekuatan kepada pembangkang.

“Beliau turut menyebut mengenai kerjasama yang kukuh dan patut dibina antara PAS dan UMNO, pada masa yang sama beliau juga meletak KPI kepada kepimpinan PAS dan beliau yakin kerjasama yang bukan sahaja dengan UMNO tetapi kerjasama dengan parti-parti lain akan membolehkan Putrajaya boleh diambil pada pilihan raya akan datang,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.