Muktamar PAS: Agenda Penyatuan Ummah Dapat Dijelaskan Secara Menyeluruh – Tok Mat


KUANTAN, 21 Jun – Agenda penyatuan ummah yang akan dibincang serta dibahas pada Muktamar PAS ke-65 kali ini akan membuka ruang selain dapat memberi penjelasan kepada akar umbi untuk merungkai segala silap faham yang timbul selama ini berhubung perkara berkenaan.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara berkenaan tentunya dapat dikupas serta dibahas oleh pemimpin mereka yang sekaligus dapat memberi maklumat yang sejelas-jelasnya.

“Muktamar PAS tahun ini adalah untuk membahaskan agenda utama parti iaitu agenda penyatuan ummah supaya dapat dibahas dan dikupas oleh semua pemimpin-pemimpin daripada akar umbi seluruh negara dan tidak ada nanti yang tidak tahu atau silap faham tentang agenda ini.

“Jadi ini satu perkara yang amat baik dan bagus kerana selama ini banyak orang kata ianya kefahaman diperingkat pemimpin tertinggi sahaja dan apabila ada Muktamar seperti ini serta dibahaskan agenda penyatuan antara UMNO dan PAS iaitu dua parti Melayu terbesar di tanah air ini maka ia akan dapat dijelaskan dengan sejelas-jelasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Muktamar PAS ke-65, di Kompleks SUKPA, Kuantan, di sini, hari ini.

Turut serta barisan pimpinan kanan UMNO yang lain termasuklah Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Penerangan, Datuk Dr Shamsul ANuar Nasarah dan pimpinan lain.

Mohamad seterusnya memberitahu Jawatankuasa Pemandu antara UMNO-PAS akan mengadakan mesyuarat pada 12 Julai ini dan dibentangkan hasil daripada kajian Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Naib-Naib Presiden kedua-dua parti.

“Apabila ini telah dipersetujui maka kita akan ‘road show’ untuk kita memberitahu bahawa piagam perpaduan ummah ini akan menjadi suatu skop ruang untuk dijadikan panduan dan peringkat negeri, bahagian mahupun kawasan akan adakan jawatankuasa pelaksana,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau mengucapkan tahniah kepada PAS kerana telah berjaya mengadakan Muktamar yang ke-65 dengan amat meriah dan penuh bersemangat.

“Ramai juga saya nampak perwakilan-perwakilan asing datang sama ada pesuruhjaya atau pun duta serta wakil-wakil dan parti sahabat-sahabat yang turut hadir. Saya ucap tahniah kepada PAS dan saya amat gembira melihat suasana yang tenang. Ini jelas menunjukkan bahawa politik Malaysia semakin lama semakin meriah nampaknya.

“Apa yang kita harapkan ialah kita memerlukan suatu politik yang matang dan bukannya politik yang menghentam tidak tentu arah tetapi membawa kepada hala tuju dan menjurus menyeru kepada kebaikan, perpaduan serta untuk membina negara,” katanya lagi. – MediaUMNO