Mesyuarat UMNO Bahagian: Tekad Perkukuh Ukhuwah, Mantapkan Kerjasama UMNO-PAS


KUALA LUMPUR, 21 Jun – Kesepakatan dan kesatuan akar umbi perlu diterjemahkan dalam kebersamaan memastikan perjuangan UMNO terus relevan dan kembali dapat memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani berkata, mesyuarat Bahagian UMNO yang sedang berlangsung sekarang ini adalah ruang dan kesempatan terbaik yang perlu diaplikasi untuk memperkasakan agenda utama penyatuan ummah dan memperkukuh parti.

“Kerjasama UMNO-PAS memberikan impak yang sangat tinggi kerana ia dapat merapatkan kembali hubungan silaturrahim yang selama ini telah terpisah begitu lama,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelas beliau, dengan adanya penyatuan ini sokongan dan keyakinan akar umbi kepada UMNO di samping tekad untuk meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara amat positif.

“Jika digabungkan ahli-ahli UMNO dengan PAS, orang Melayu yang ada di Lembah Pantai sebanyak 64%, kaum Cina 23%, India 11% dan kaum-kaum lain sebanyak 2%.

“Kita juga telah buat kerjasama penyatuan ummah dengan PAS khususnya di Lembah Pantai agar kita boleh menang dengan selesa pada PRU ke-15 nanti.”

Justeru katanya, penyatuan ummah ini sangat bermakna sejak ia bermula dari Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, namun usaha itu dimantapkan sehinggalah pengurusan kempen kedua-duanya menjadi sangat kemas serta teratur seperti ditonjolkan dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Memang ada pihak yang sengaja menabur hal negatif tentang UMNO-PAS tetapi kerjasama penyatuan ummah ini tidak menggugat dan meminggirkan kaum-kaum lain, malah hal ini telah membuka mata penyokong parti termasuk juga dikalangan anak-anak muda.”

Katanya, ahli UMNO tidak luntur untuk bekerja lebih kuat lagi dan gigih walaupun mendapat pelbagai tekanan termasuklah peruntukan dan dana yang amat terhad.

“UMNO Lembah Pantai akan terus bekerja lebih kuat lagi demi masyarakat walaupun kita dihimpit dari pelbagai sudut,” katanya yang turut memaklumkan bahawa persidangan UMNO Bahagiannya bakal berlangsung pada 14 Julai depan dengan dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau percaya mesyuarat ini akan memberi banyak ruang dan kesempatan untuk bertukar-tukar fikiran yang tentunya kehadiran Ismail Sabri juga bakal memberi input yang sangat bermakna buat ahli UMNO. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.