Menteri PH Diminta Adil, Pendekkan Tempoh Perkhidmatan NC UMS Yang Cemerlang Tak Munasabah

KOTA KINABALU, 21 Jun – UMNO Sabah merasa terkejut dan kecewa dengan berita tempoh perkhidmatan Prof Datuk Dr Kamarudin Mudin akan dipendekkan sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Justeru itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata UMNO Sabah mendesak Menteri Pendidikan tidak membuat keputusan memendekkan tempoh perkhidmatan Dr Kamarudin kerana merupakan anak jati negeri Sabah yang telah berkhidmat sebagai Naib Canselor dengan cemerlang melalui tadbir urus yang telus dan berwibawa.

“Tindakan memendekkan tempoh perkhidmatan Dr Kamarudin tanpa alasan munasabah tidak boleh diterima apatah lagi tempoh perkhidmatan beliau akan tamat dalam setahun lagi.

“Pemendekan tempoh perkhidmatan ini tentunya boleh mengundang berbagai persepsi negatif yang tidak berasas terhadap beliau yang akan merosakkan nama dan kerjaya beliau.

“Menteri Pendidikan mesti berlaku adil dalam perkara ini,” tegas Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran dalam satu kenyataan di Facebooknya, di sini, hari ini.

Abdul Rahman turut mengucapkan tahniah kepada Dr Kamarudin kerana buat pertama kali dalam sejarah 25 tahun UMS, beliau bersama tenaga akademik dan kakitangan UMS telah memecah rekod apabila UMS telah diiktiraf oleh QS World University Rankings 2020 sebagai salah satu dari seribu universiti teratas dunia.

“Di kalangan universiti terbaik Asia pula, UMS terletak dalam kedudukan 206 dari ribuan universiti di Asia pada tahun ini.

“UMS juga dalam kedudukan terbaik untuk mencapai tahap 75 peratus kebolehpasaran graduan (graduate employability).

“Kesemua pencapaian ini antara lainnya kerana kecemerlangan kakitangan UMS terutama tenaga akademiknya yang diterajui oleh Dr Kamarudin,” katanya lagi.

Justeru ujarnya, UMNO Sabah mendesak supaya Menteri Pendidikan tidak membuat satu keputusan yang dilihat merugikan UMS dan negeri Sabah.

“Lebih-lebih lagi jika keputusan itu dibuat atas tekanan dari pihak-pihak tertentu.

“UMNO Sabah juga mahu supaya kerajaan Sabah masuk campur dan menolak usaha untuk memendekkan perkhidmatan Dr Kamarudin dan mempertahankan perkhidmatan beliau yang cemerlang di UMS,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.