Adanya UMNO Dan Sayap Bukan Islam Antara Bukti PAS Pertahan Masyarakat Majmuk


KUANTAN, 21 Jun – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa parti itu sedang menjalani langkah yang proaktif menegakkan perpaduan ummah dengan konsep bertaawun dengan saudara seagama dan sebangsa dan mendahulukan parti Melayu Islam dan NGO yang tidak sepatutnya dipandang negatif oleh pihak lain kerana kewajipan adalah mendahulukan masalah dalaman umat Islam sendiri.

Namun begitu katanya, PAS tetap mempertahankan kewujudan masyarakat majmuk kerana petunjuk Islam, bukannya bermain politik.

“Kita buktikan adanya sayap bukan Islam dalam PAS dan adanya pada parti UMNO yang bersifat Melayu Islam tidak berpisah dan Bumiputera tegar, namun tetap menjalin rantaian yang tidak putus dengan semua kaum yang lain.

“Maka kita menentang sesiapa sahaja yang mahu membakar api perkauman dan fanatik agama yang merosakkan masyarakat majmuk ini, dan tidak berganjak mempertahankan Islam memimpin dengan semangat tema yang diteruskan.

“Terpenting, kita wajib membina sahsiah dengan petunjuk Islam, menunjukkan model integriti yang tinggi, walaupun setiap manusia ada sifat kelemahan makhluk, melakukan kesalahan dan dosa, tetapi syarat Islam yang memimpin diwajibkan itu hendaklah dipertahankan, kerana Islam menjadi syarat wajib semua amalan itu diterima Allah,” katanya dalam ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di sini, hari ini.

Katanya, sepatutnya semua pihak yang lain hendaklah melihat kepada konsep Islam secara menyeluruh terhadap mereka, bukannya mengintai dengan niat yang jahat.

“Malah mereka perlu menghargai dan berterima kasih kepada umat Islam di sini, yang telah memberi tempat kepada mereka berkonsepkan akhlak Islam dan toleransi yang tinggi. Bandingkan kedudukan layanan kaum seperti mereka di negara lain.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.