Pemuda UMNO Sepakat Fokus Penyatuan Ummah Dan Solidariti Parti, Tolak Politik Picisan

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini bersepakat untuk memfokuskan kepada agenda gerak kerja penyatuan ummah yang melibatkan UMNO-PAS dan memperkasakan solidariti dalaman parti bagi menghadapi sebarang kemungkinan Pilihanraya Umum yang diadakan pada bila-bila masa.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdu Dusuki seterusnya menyangkal sebarang andaian dan tohmahan yang mendakwa wujudnya usaha-usaha menyingkirkan mana-mana pemimpin mahupun bekas pimpinan parti yang banyak jasanya kepada perjuangan parti kerana setiap mereka ada kekuatan yang bermanfaat untuk digemblengkan bagi membangunkan semula kekuatan parti.

Pemuda UMNO juga tegasnya menolak politik picisan yang menjengkelkan sebagaimana tularnya video tidak bermoral yang dikaitkan dengan Menteri Kabinet PKR.

“Walaupun dakwaan Datuk Seri Azmin Ali yang mendakwa dengan yakin bahawa penyebaran video tersebut didalangi oleh dalaman PKR sendiri, Pemuda UMNO tetap berpendirian politik kotor dan memalukan seperti ini perlu dihentikan segera.

“Seharusnya fokus kerajaan hari ini diutamakan untuk menangani segala isu-isu yang menyentuh kepayahan rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup yang kian meningkat lantaran dasar-dasar ekonomi PH yang masih kabur dan hanya lebih banyak menyalah dan mencari salah kerajaan BN lepas”, katanya.

Pada masa yang sama jelas beliau lagi Pemuda UMNO juga ingin menegaskan semula pendirian yang dibuat dalam Ucapan Dasar Perhimpunan Agong Pemuda UMNO tahun lalu, bahawa UMNO tidak perlu berkira-kira untuk membentuk kerajaan melalui pintu belakang dengan berunding dengan mana-mana pihak kerana kelak akan dihukum oleh rakyat dalam PRU akan datang.

“Pemuda UMNO tetap dengan berpendirian yang konsisten dan tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana kem yang sedang bergolak dalam kerajaan PH.

“Bagi kita UMNO adalah parti yang bermaruah dan tidak akan merelakan parti ini terjebak perundingan ‘pintu belakang’ untuk menjadi kerajaan”, ujarnya.

UMNO tegasnya akan berhadapan dengan realiti kehendak rakyat, rakyat telah menghukum UMNO dan Barisan Nasional (BN) semasa PRU ke 14 lalu.

“UMNO telah bangkit kembali dengan suatu proses yang positif dan yang paling penting UMNO akan berhadapan dengan PH pada PRU ke-15 nanti

“Kekuatan UMNO semakin jelas dan ini membuatkan golongan muda semakin minat menyertai UMNO. Permintaan dan pertambahan ahli UMNO khususnya untuk kemasukan ahli sebagai Pemuda begitu memberansangkan, ini membuktikan UMNO masih lagi relevan dan tetap utuh perjuangannya”, kata beliau.

Ini jelasnya dapat dilihat dalam tempoh sebulan lalu dari Mei hingga Jun Pemuda UMNO menerima sebanyak 2,088 ahli baru, satu peningkatan yang begitu memberangsangkan dan menjadikan jumlah keseluruhan ahli Pemuda UMNO setakat ini seramai 475,244 orang.

Sementara itu ekoran keadaan kerajaan PH yang terlalu banyak kecelaruan, kelemahan dalam pelbagai perkara yang dilakukan yang cukup merugikan rakyat Dr Asyraf berkata setiap Exco Pergerakan Pemuda UMNO akan diberikan portfolio untuk memantau terus Kementerian-kementerian secara dekat mengenai isu-isu yang terbabit pada kementerian tersebut.

“Setiap exco dipertanggungjawabkan menyerang dan mendedahkan kepincangan yang berlaku pada kerajaan PH kepada rakyat dan juga apa yang berlaku di kementerian-kementerian tersebut.

“Polisi dasar yang baik kami akan sokong tetapi polisi dasar yang menyusahkan rakyat kami akan tentang dan akan hadir satu alternatif yang begitu baik,” tegasnya. -MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.