Kerajaan PH Perlu Mekanisme Dan Persediaan Rapi Jika Hasrat Laksana Semula PPSMI

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Kerajaan diminta untuk melakukan persediaan rapi dan menetapkan mekanisme yang betul sekiranya berhasrat melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Perkara tersebut penting dalam memastikan program pendidikan yang telah dimansuhkan pada tahun 2012 itu berjalan lancar dan terhindar daripada sebarang permasalahan tidak diingini khusus melibatkan pelajar luar bandar.

Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan, kerajaan juga perlu mengambil perhatian khusus tentang bagaimana untuk menyediakan guru-guru yang boleh mengajar subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris kerana negara ketika ini berdepan dengan masalah tersebut.

“Kerajaan perlu membuat persediaan rapi dan menentukan mekanisme yang betul kerana dahulunya PPSMI ini dibatalkan kerana banyak faktor antara memberi kesan tidak baik kepada pelajar di kawasan luar bandar.

“Macam Program Dwibahasa (DLP) pelajar diberi pilihan untuk menjawab dalam bahasa Melayu atau Inggeris, tetapi PPSMI tidak boleh. Mekanisme kena betul kerana untuk memberi latihan kepada guru-guru memakan masa yang lama dan bukan perkara mudah,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Utusan Online menerusi sumber yang boleh dipercayai melaporkan Kabinet dikhabarkan telah bersetuju untuk melaksanakan semula dasar PPSMI.

Hal ini agak mengejutkan kerana pada April lalu satu kajian dan penyelidikan mengenai PPSMI dilapor bakal diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.