Ekonomi Negara Tidak Menentu Bukan Perkara Pelik, PH Terperangkap Mainan Politik Sendiri


KUALA LUMPUR, 20 Jun – Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohamad Nizar Zakaria melihat kenyataan Dr Jomo K Sundaram, Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah, yang mengajak rakyat bersedia berdepan zaman lebih sukar akibat ekonomi dunia tidak menentu bukan satu perkara yang mengejutkan.

Malah menurut beliau apa yang diutarakan oleh Dr Jomo itu sesuatu yang sudah boleh dijangka kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini terperangkap dengan segala janji dan juga permainan politik selama ini dan itulah realitinya selepas mereka mengambil alih pemerintahan negara atas berlandaskan fitnah.

“Apa pun kita boleh lihat… negara sebelum ini berada pada landasannya tersendiri dan berada pada ‘trek’ yang cukup baik hasil pemerintahan kerajaan yang ditunjangi oleh Barisan Nasional (BN) dahulu… yang mementingkan serta mengutamakan kepentingan semua pihak dan negara.

“Baik ekonominya… sudut sosialnya… soal kepentingan negara… sudut kebajikan rakyat dan macam-macam aspek lain malahan tidak keterlaluan jika dikatakan pada masa dan waktu itu negara kita menjadi ‘role model’ kepada sesetangah negara luar,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Namun begitu, katanya selepas kerajaan baharu yang dipilih menerusi demokrasi mengambil alih maka semuanya berubah.

“Mereka sebelum itu mengatakan segalanya-galanya akan baik jika berubah kerajaan daripada BN kepada PH tapi telah menjadi sebaliknya.

“Kita masih ingat dan rakyat mungkin masih belum melupakannya… bukankah PH mengatakan akan jadi lebih baik dan mampu membawa negara bergerak ke depan dengan lebih maju. Namun realitinya meleset.

“Hari ini kita dapat lihat secara jelas kucar-kacirnya pentadbiran, dengan ekonominya pula yang tidak tersusun secara lebih baik dan begitu juga soal kepentingan kepada rakyat yang tidak diurus dengan baik sehingga timbul kerisauan dikalangan mereka (PH) sendiri,” ujarnya.

Ujarnya lagi rentetan itu keluarlah bermacam alasan seperti tidak ada lampu Aladdin malah ada yang mengeluarkan pelbagai cerita lain sebagai usaha menutup kegagalan mereka melaksanakan tanggungjawab lebih baik dari BN kepada rakyat.

“Itulah gara-gara janji mereka yang hanya bersifat retorik selain gimik tidak menentu yang akhinya memberi impak kepada soal pentadbiran negara,” bidasnya lagi.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.