Cadangan Pindaan Perlembagaan UMNO Fasal 9.9 Lucut Keahlian Tidak Benar – Khaled

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini membuat penjelasan sekali lagi berkaitan cadangan pindaan Perlembagaan UMNO berikutan sebelum ini wujud khabar angin dan cakap-cakap di luar sana bahawa proses cadangan pindaan Perlembagaan UMNO adalah satu usaha tidak langsung untuk menyingkirkan individu tertentu di dalam UMNO, antaranya bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden semasa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tegasnya  tindakan Malaysiakini menerusi laporannya bertajuk ‘Mat Hasan Dalang Mahu Singkir Zahid, Najib’, bertarikh 30 Mei 2019 kononnya cadangan pindaan Perlembagaan UMNO bertujuan untuk menyerang sesetengah individu secara khusus ternyata tidak berasas.

“Susulan daripada laporan tidak benar yang bersifat spekulatif dan berniat jahat tersebut, saya telah membuat kenyataan balas yang tegas terhadap Malaysiakini yang cuba menangguk di air keruh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terangnya, tidak ada sebarang cadangan pindaan Fasal 9.9 seperti yang didakwa tersebut.

“Tidak ada. Malah, MalaysiaKini sehingga ke saat ini gagal mengemukakan sumber serta penjelasan dari manakah mereka mendapat maklumat yang salah dan berniat jahat seperti itu.

“Seperti yang boleh kita jangkakan, MalaysiaKini hanya membisu, melepaskan tangan dan menebalkan muka sahaja selepas melaporkan berita yang salah tersebut”, ujarnya..

Bidasnya cerita dan kenyataan yang tidak tepat berhubung proses pindaan Perlembagaan UMNO ini sangat tidak matang, berniat jahat dan hanya akan membantutkan proses pemulihan UMNO menjadi parti yang lebih kuat dan diyakini.

Jelas beliau lagi pindaan Perlembagaan UMNO adalah satu proses yang terbuka dan berterusan yang bertujuan mengukuhkan struktur dan tadbir urus UMNO sebagai sebuah gerakan amal bakti yang berpaksikan kepentingan rakyat.

Ia bukanlah satu proses yang baru berlaku. Sebelum ini sudah beberapa kali Perlembagaan UMNO dipinda. Dan kali ini, ia dilakukan dengan tujuan yang sama iaitu untuk mengukuhkan parti.

“Yang lebih penting, segala cadangan pindaan ini dilakukan selepas mendengar pandangan dan berjumpa dengan pelbagai pihak. Saya dan pasukan telah melakukan road tour dan berjumpa dengan semua perhubungan negeri di seluruh negara serta sayap-sayap parti untuk membentangkan cadangan-cadangan pindaan tersebut. Dan terakhir ialah Jawatankuasa Pengurusan”, katanya.

Sepanjang proses perjumpaan dan sumbang saran ini berlaku terang beliau, tidak langsung ada cadangan melucutkan keahlian mereka yang di bawa pertuduhan bagi sebarang salah laku.

Jelasnya lagi segala cadangan pindaan ini kini sudah dibentangkan pada MKT UMNO dan ahli-ahli MKT UMNO untuk membahaskan perkara tersebut dan memberi pandangan konstruktif mereka.

Justeru beliau secara tegas menolak laporan tidak benar yang bersifat permainan spekulasi dan persepsi ini kerana ia akan merugikan parti yang sedang dinilai dan diperhatikan oleh semua ahli dan masyarakat awam di luar sana.

“Biar apa pun, perkara ini wajar diselesaikan bersama semasa MKT mengadakan retreat khusus untuk membincang pindaan Perlembagaan UMNO in”, ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.