UMNO Enggan Terikut Rentak Politik PH, Fokus Perkasakan Parti


KUALA TERENGGANU, 19 Jun – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Din Adam berkata memang benar UMNO hari ini bukan sahaja terus memperkasakan parti malah enggan terikut-ikut dengan rentak serta mainan politik Pakatan Harapan (PH) yang caca merba.

Menurut beliau dengan kedudukan parti sebagai pembangkang kepada kerajaan hari ini, sewajarnya pelbagai penyusunan dan gerak kerja untuk terus berkhidmat terutama berasaskan moto UMNO iaitu ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’ dapat digembleng bersama.

“Tentulah dalam kedudukan dan senario mesyuarat di peringkat bahagian hari ini, sudah pasti kita akan teruskan gerak kerja dan perkara itu insya-Allah kita akan sama-sama terjemahkannya di akar umbi.

“Apatah lagi dalam usaha kita untuk sama-sama memberikan buah fikiran dan juga sama-sama melontarkan pandangan maka apa yang digagaskan oleh Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan beberapa hari lalu berasas,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Jadi tambahnya, apa yang penting hari ini sebagai ahli parti adalah komitmen untuk terus bersama-sama menanam tekad dan memastikan parti mengorak langkah ke depan dengan penuh yakin.

Dilaporkan, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan mesyuarat UMNO bahagian Selayang Ahad lalu berkata akar umbi UMNO adalah teras utama dalam keperkasaan parti.

Katanya, jangan ingatkan apabila ada seorang atau dua orang pimpinan UMNO lari meninggalkan parti maka UMNO tergugat kerana UMNO akan tetap terus teguh dan tidak akan hancur.

Malah beliau turut mengingatkan agar jangan mengikut dan menari rentak orang (PH), sebaliknya berasaskan mengikut satu lagu dan satu tarian mengikut acuan dari sendiri.

Din seterusnya berkata UMNO Terengganu akan terus istiqamah dan berpegang kepada prinsip serta motto parti kerana kekuatan UMNO bergantung kepada akar umbi.

“Ya memang benar dan betul… akar umbi memainkan peranan yang cukup penting. Tanpa akar umbi parti tidak akan ke mana dan tentulah usaha-usaha untuk menguatkannnya tidak berjalan sepertimana yang kita harapkan,” ujarnya lagi.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.