Ketidakcekapan Kerajaan PH Urus Ekonomi, Rakyat Jadi Mangsa


KUALA LUMPUR, 19 Jun – Kenyataan Dr Jomo K Sundaram, Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah, mengajak rakyat bersedia berdepan zaman lebih sukar akibat ekonomi dunia tidak menentu, adalah satu pengakuan dan bukti Kerajaan PH tidak berkeupayaan mengurus serta menghadapi cabaran ekonomi ketika ini.

Demikian tegas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, situasi ini, begitu mendukacitakan sekali apabila rakyat menjadi mangsa kerana sepatutnya dalam keadaan apapun, rakyat mesti dibantu.

“Kerajaan PH perlu merangka strategi menghadapi cabaran ekonomi global dewasa ini terutama membantu dan melindungi golongan yang terkesan disituasi begini. Ini baru dinamakan kerajaan bertanggungjawab.

“Memang tidak salah kerajaan menyuruh rakyat bersedia. Namun, mengajak rakyat mengikat perut dengan memberi alasan ‘situasi luaran’ yang ‘ di luar kawalan kerajaan’ adalah suatu yang tidak boleh diterima. Ini seakan Kerajaan PH sudah kehabisan idea menangganinya,” bidas beliau.

Katanya, Kerajaan PH mesti punyai formula terbaik membina benteng kekuatan ekonomi Malaysia.

“Namun yang ketara ialah polisi dan dasar kewangan negara tidak konsisten, dan sukar meyakinkan pelbagai pihak. Kelemahan Menteri dan pihak dipertanggungjawabkan inilah yang mengeruhkan keadaan.

“Saya percaya ramai kecewa dengan pelbagai ‘janji manis’, ‘pelan pembaharuan’, ‘agenda penambahbaikan’, ‘reformasi ekonomi’, ‘bajet rakyat’ dan sebagainya, yang dipropogandakan oleh kerajaan PH selama ini?

“Nampak jelas ianya tidak memberikan kesan positif kepada negara apabila angka angka rasmi menunjukan dalil usaha Kerajaan PH gagal.”

Jelas beliau, realitinya, pertumbuhan KDNK semasa Barisan Nasional (BN) jauh lebih tinggi dari keempat-empat harimau Asia dan selalu diantara tertinggi di ASEAN dan dunia tapi kini berbeza di bawah PH apabila hutang negara meningkat hampir RM100 bilion sejak Mei 2018, tidak termasuk pinjaman RM82 bilion dari Petronas, bon Samurai malahdifahamkan Kerajaan PH mahu pula berunding mendapatkan bon Panda dari China.

“Fakta juga membuktikan pertumbuhan ekonomi dibawah PH lemah dan berlaku penyusutan dana dana Petronas, Khazanah dan Tabung Haji serta mungkin juga dana lain. Keadaan ini membimbangkan, dan Dr Jomo K Sundaram atau penasihat kewangan Kerajaan PH mesti jujur bercakap soal ini.”

Katanya, kita perlu akui, nilai Ringgit Malaysia semasa BN serahkan negara ini ialah USD1 = RM3.83, namun selepas setahun di bawah PH, Ringgit lemah semula menjadi USD1 = RM4.18 sementara Indeks bursa saham juga pernah jatuh 300 mata ke bawah 1,600 walaupun pulih sedikit ke 1,640 ketika ini.

“Perang ekonomi Amerika Syarikat-China tidak seharusnya dijadikan alasan. Kedua kuasa ekonomi ini sejak dahulu telah saling bersaing. Malahan ada ketikanya lebih agresif ketika zaman Kerajaan BN.

“Namun Kerajaan BN berjaya mengharungi ketidaktentuan ekonomi dunia ketika itu melalui perlaksanaan dasar-dasar yang pragmatis, diyakini pelbagai pihak serta berupaya membina bentang ketahanan ekonomi negara dengan berkesan.”

Ujarnya, ketidakmampuan Kerajaan PH, disahkan lagi dengan pengakuan Dr Jomo K Sundaram, bahawa ‘agenda pembaharuan bukan mudah dilaksanakan’.

“Selain dilihat sebagai satu helah meminta rakyat bersimpati jika ia tidak dapat dilaksana, hakikatnya juga memperlihatkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Majlis Tindakan Ekonomi Negara, dan pelbagai jawatankuasa yang dibentuk di bawah PH, tidak berperanan sebagaimana sepatutnya.

“Di manakah ‘penasihat-penasihat’ kerajaan yang dahulunya menyuruh Perdana Menteri memansuh perancangan atau membubarkan dasar dasar BN, semata-mata kerana perasaan dendam dan bencikan hasil kerja BN?

“Sebetulnya zaman kesukaran yang dinyatakan oleh Dr Jomo K Sundaram, sudah dilalui dengan berjaya oleh kerajaan BN. BN juga mewariskan Malaysia dalam kedudukan yang baik kepada PH, namun diputarbelit oleh pimpinan PH.”

Kerana itu katanya, kesannya rakyat yang menanggung kesengsaraan.

“Pelbagai bantuan kewangan dipotong, pembuangan kerja dan pengangguran berlaku. Kos sara hidup bertambah.

“Usahawan dan peniaga Bumiputra kini berdepan cabaran berbeza. Kini rakyat menunggu apakah pelan tindakan kerajaan untuk mereka keluar dari kemelut ekonomi ini, dan bukannya dibiarkan terus karam dalam pusaran ekonomi ketika ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – MediaUMNO