Tindakan KPM Benar Semua Bangsa Beri Pandangan Mata Pelajaran Agama Islam Dibidas


KUALA LUMPUR, 18 Jun – Pengerusi Keilmuan Nasional Zambri Mohd Isa membidas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia Teo Nie Ching yang mahu semua bangsa memberi cadangan untuk penambahbaikan mata pelajaran Pendidikan Islam sekolah rendah kerana hal ehwal berkaitan agama Islam sewajarnya diurus dan ditadbir oleh orang Islam sendiri.

“Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) seharusnya tidak perlu melihat dan menilai mata pelajaran Pendidikan Islam adalah sama dengan mata pelajaran yang lain,” tegas beliau.

Dilaporkan, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching telah memuat turun di laman media sosial beliau bahawa KPM telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) di bawah Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) KPM pada 15 April 2019 untuk mengkaji pelbagai aspek mengenai mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (Sekolah Rendah) bagi tujuan menambahbaik mata pelajaran Pendidikan Islam.

“Secara amnya, Keilmuan Nasional menyambut baik usaha KPM menubuhkan PPKPI dan tujuan serta objektif penubuhan namun secara serius terdapat beberapa perkara dan isu yang Keilmuan Nasional ingin persoalkan terhadap pihak KPM untuk menjawab dan memperjelaskan kepada umum khususnya kepada umat Islam tentang penubuhan PPKPI dan kaedah perlaksanaannya.

“Keilmuan Nasional ingin memohon KPM memperjelaskan secara terperinci akan latar belakang keanggotaan PPKPI dan rasional perlantikan setiap anggota PPKPI. Keilmuan Nasional ingin melahirkan kebimbangan tentang status dan kelayakan keanggotaan PPKPI yang dibimbangi latar belakang keanggotaan PPKPI akan mencerminkan laporan daripada hasil kajian penambahbaikkan mata pelajaran pendidikan Islam,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Zamri, tindakan KPM yang membenar dan memberi ruang kepada mereka yang bukan beragama Islam mengemukakan cadangan untuk penambahbaikkan mata pelajaran Pendidikan Islam juga adalah sesuatu yang tidak rasional.

Justeru, Keilmuan Nasional mendesak agar KPM menggantung PPKPI buat sementara waktu sehingga diperjelaskan objektif, kaedah perlaksanaan serta keanggotaan PPKPI .

“Keilmuan Nasional juga memberi amaran kepada pihak KPM agar lebih sensitif dan berhati-hati terutamanya perkara yang melibatkan hal ehwal agama dan orang Islam,” tegas beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.