Cadangan Penambahbaikan Pendidikan Islam … Di Mana Pendirian Maszlee Yang Beragama Islam?


KUALA LUMPUR, 18 Jun – Tindakan Timbalan Menteri Pelajaran, Teo Nie Ching yang mahu semua bangsa memberi cadangan untuk penambahbaikan mata pelajaran Pendidikan Islam sekolah rendah telah menimbulkan kerisauan dan kegusaran terhadap masyarakat Islam di negara ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kluang, Mohd Khairul Ishak mempersoalkan apakah relevan dan keperluan ianya dibuka kepada non-muslim kerana sepatutnya kenyataan ini dibuat oleh Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik yang juga beragama Islam.

“Adalah tidak wajar sekiranya masyarakat yang bukan agama Islam boleh menyampaikan idea-idea dalam pendidikan Islam dan ini jelas boleh mengelirukan masyarakat Islam malah tidak mustahil pandangan yang diberikan boleh menyesatkan umat Islam.

“Yang menjadi persoalan utama, tindakan yang dilakukan oleh Timbalan Menteri Pelajaran secara terang-terangan membuka penglibatan kumpulan masyarakat bukan beragama Islam dalam menyampaikan buah fikiran dan pandangan berkaitan Pendidikan Islam. Adakah ini dasar pendidikan Malaysia baharu?” katanya kepada UMNO-Online.

Khairul menjelaskan, seharusnya perkara sebegini perlu diulas dan diperbincangkan oleh golongan agamawan, mufti, kadi dan juga pegawai-pegawai hal ehwal Islam yang terdapat di jabatan-jabatan kerajaan kerana ia perlu secara serius.

“Amat perlu pandangan tegas selaku mufti tidak hanya mengulas mengenai perkara-perkara tertentu sahaja, seharusnya isu ini perlu dirujuk kerana melibatkan masa depan pendidikan agama Islam anak-anak kita.

“Tegurlah jika perlu dan bertindak sebelum ia terlambat,” tegasnya lagi.

Dilaporkan, Teo Nie Ching telah memuat turun di laman media sosial beliau bahawa KPM telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) di bawah Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) KPM pada 15 April 2019 untuk mengkaji pelbagai aspek mengenai mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (Sekolah Rendah) bagi tujuan menambahbaik mata pelajaran Pendidikan Islam. Dalam catatannya, beliau turut menjemput individu, kumpulan dan institusi tanpa mengira agama dan bangsa untuk mengemukakan cadangan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.