Kerjasama UMNO- PAS Mampu Rampas Empat Negeri


RAWANG, 16 Jun – Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yakin hasil jalinan penyatuan ummah antara UMNO dengan PAS, gabungan ini akan merampas empat negeri yang dikuasai kerajaan Pakatan Harapan (PH) di samping mengekalkan kemenangan di negeri Perlis, Pahang dan Kelantan.

Mohamad yang lebih dikenali Tok Mat Hasan turut menjangkakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 akan dilakukan lebih awal iaitu akhir 2020 dan berkat penyatuan ummah ini akan terus disambung pada generasi akan datang.

“Kita mesti bersatu padu untuk menang PRU ke 15 nanti… insya-Allah.

“Penyatuan ummah dengan PAS ini bukan bertujuan nak perangi sesiapa, kita hendak bersatu, hendak amankan Malaysia bukannya hendak jadikan negara ini seperti negara Taliban seperti yang didakwa oleh Pakatan Harapan (PH).

“UMNO jangan jadi daun reput dan UMNO haruslah menjadi pucuk muda agar semua lapisan masyarakat menyayangi UMNO,” katanya ketika berucap pada majlis perwakilan UMNO Bahagian Selayang iaitu bahagian pertama yang dirasmikan hari ini.

Tok Mat turut menambah, UMNO sudah elok dan rakyat sudah mula membenci PH.

“Kita kena jaga elok-elok dan jangan kucar-kacirkan parti lagi, ini adalah hikmah yang diberikan oleh Allah SWT.”

Katanya, langkah-langkah dan strategi harus betul dan dijaga dengan elok.

“Janganlah langkah kita dibaca oleh orang (PH), bak kata orang-orang tua ‘sepurnama dagang berlalu ditikam jejak menipu’,” katanya.

Tegas beliau, sebagai ketua beliau akan akan ‘pandu’ parti ke destinasi dituju.

“Saya dipilih sebagai pemandu bas (UMNO) sebab saya tidak banyak saman, polis tidak akan tahan saya, kalau pemandu lain mungkin susah … asyik ditahan polis.

“Kita semua nak sampai ke destinasi yang sama iaitu menjadi kerajaan semula, saya pandu anda semua sebab kita semua tahu kerajaan PH tak lama, satu penggal saja.”

Katanya, anggota parti jangan terpesong dari tujuan asal.

“Jangan kita terpesona dan terpesong, ini pendirian kita, tidak campur tangan masalah mereka (PH). Biar reput, jatuh sendiri, jangan dijolok, kalau hendak jolok biarlah jolok buah yang sudah masak, dia yang makan buah muda, apa pasal kita (UMNO) nak kena getah? Terserah kepada mereka untuk selesaikannya,” katanya yang memberi analogi berkaitan PH. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.