Tommy Thomas Harus Digugurkan Sebagai Peguam Negara


KUALA LUMPUR 16 Jun – Setelah setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah, isu kredibiliti Peguam Negara antara perkara yang meragut kepercayaan rakyat terhadap institusi terpenting di dalam negara ini, demikian menurut Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Nor.

Menurut beliau banyak perkara yang melibatkan keputusan berat sebelah telah dibuat tanpa memikirkan implikasi pandangan terhadap integriti Peguam Negara.

“Kes rasuah pemimpin Dap, Lim Guan Eng yang mempunyai butiran bukti yang lebih kukuh telah digugurkan demi melindungi kepentingan puak cauvinis dalam menghalalkan sebarang perihal salah laku.

“Beberapa kes utama dilihat rakyat amat bersifat perkauman apabila kes yang melibatkan bangsa Melayu, terus dilambat-lambatkan penyelesaiannya, malah pesalah-pesalah pula yang dibebaskan. Kes bunuh Adib jelas menampakkan hal ini. Pembelaan sewajarnya perlu dibuat,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Katanya lagi isu seperti Statut Rom pula sengaja dipercepatkan untuk menidakkan hak orang Melayu dan Tommy gagal menasihati YDP Agong tentang perihal buruk yang bakal menimpa nasib bangsa terbesar di negara ini akibat menandatangani perjanjian tersebut.

“Maka dengan itu, merujuk kepada kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi, Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan menyokong sepenuhnya 10 perkara yang menyatakan kegagalan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

“YAB Perdana Menteri wajib memecat Tommy dan menggantikannya dengan seorang yang tinggi kredibiliti dan integriti dengan harapan dapat mengembalikan maruah dan kepercayaan rakyat terhadap institusi Peguam Negara,”ujarnya.-MediaUMNO