Jangan Ikut Rentak PH… UMNO Satu Lagu, Satu Gendang, Satu Tarian – Mohamad


RAWANG, 16 Jun – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata akar umbi UMNO adalah teras utama dalam keperkasaan parti.

Katanya, jangan ingatkan seorang atau dua orang pimpinan UMNO lari meninggalkan parti maka UMNO tergugat kerana UMNO akan tetap terus teguh dan tidak akan hancur.

“Kita dah menang 13 kali… baru kalah sekali dah lari, sekarang ini adalah masa terbaik untuk kita muhasabah diri.

“Kita rugi berpecah … cuba lihat keputusan PRU 14, contohnya Parlimen Temerloh … Pakatan Harapan (PH) menang sebanyak 26 ribu, Barisan Nasional (BN) 24 ribu, PAS 14 ribu, kalau digabungkan kita menang 38 ribu undi (75%).

“Cukup-cukuplah kita ikut rentak mereka (PH) dan susun strategi, tapi kalau nak buat strategi mesti ada ilmu, ibarat satu lagu, satu gendang dan satu tarian,” katanya kepada media semasa merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Selayang, hari ini.

Mohamad turut menambah, apabila orang Melayu berpecah disebabkan adu domba, orang Melayu yang majoriti berpecah-belah maka semakin lama orang Melayu semakin menjadi kecil.

“Janganlah mengikut dan menari rentak orang (PH), inilah kesilapan kita dan sekarang ini kita kena ikut satu lagu dan satu tarian mengikut acuan dari kita sendiri.

“Ini adalah hikmah-hikmah yang Allah SWT bagi pada kita dalam pelbagai bentuk, seperti nikmat kesihatan, umur panjang dan nikmat bermacam-macam lagi dan kita perlu menjaga nikmat ini… Allah SWT akan ambil bila-bila masa sahaja dan ini adalah pelajaran yang baik dan berguna kepada semua ahli UMNO apabila kita tidak berkuasa.

“UMNO ini ada dua hala tujunya iaitu, UMNO harus memperkasakan parti dan kita harus menyusun strategi mengikut moto UMNO,’Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’.”

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau memberitahu,UMNO ini diwujudkan dengan asas pertubuhan kebangsaan maka semangat ini perlu untuk akar umbi.

“UMNO tidak akan hancur disebabkan kekuatan tunjang utama parti adalah dari perjuangan asas akar umbi, tetapi UMNO akan terus kukuh dan kuat walaupun kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.”

Tegasnya, UMNO akan terus memartabatkan dan berjuang walaupun tidak lagi memegang tampuk kekuasaan kerana UMNO akan terus memperkasakan agama, bangsa dan negara.

“Yang menghidupkan pokok adalah akar umbi dan akar umbi yang mencari makanan untuk pokok.

“Jangan risau UMNO tidak kuat di PWTC, tetapi UMNO kuat di tempat tuan-tuan dan puan-puan seperti di kampung-kampung dan juga di kawasan cawangan,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.