UMNO Tidak Campur Tangan Masalah Dalaman PH – Annuar Musa

RANTAU, 15 Jun – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO tidak mahu dan tidak akan campur tangan dalam permasalahan Pakatan Harapan (PH).

Ujar beliau, apa yang sedang melanda PH sekarang ini adalah masalah dalaman kerajaan dan parti gabungan PH itu sendiri.

“UMNO hanya akan memerhati tapi UMNO tidak mahu campur tangan.

“Cuma, rakyat harus sedar bahawa rakyat sedang memerhati apakah tindakan yang akan dilakukan dan saya berharap kerajaan akan bersikap telus dan adil kerana isu ini menjadi satu isu ‘public interest’ dan ‘high profile case’.

“Kalau kerajaan dilihat berpihak kepada mana-mana individu tertentu, ini akan menyebabkan keyakinan rakyat kepada kerajaan makin teruk.”

Maka katanya, untuk kebaikan, kerajaan harus berikan kebebasan kepada pihak berwajib untuk menjalankan tugas mereka mengikut S.O.P yang sedia ada.

“Saya bimbang, kalau dengan gambaran orang yang melapor diambil tindakan dalam keadaan orang yang lain tidak diambil tindakan, maka masyarakat akan membina satu persepsi seolah-olah ada satu pakatan yang memihak kepada individu tertentu dan ini tidak baik untuk kerajaan,” ujar beliau kepada media ketika ditemui di majlis rumah terbuka Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, hari ini.

Tambah Annuar, kerajaan kini sedang menghadapi banyak ujian yang cukup getir dan jika ia tidak ditangani dengan baik, secara tidak langsung ia bakal memberi kesan kepada rakyat.

“Sebenarnya rakyat yang akan rugi terutama kalau berlaku ketidakstabilan atau krisis politik,” jelas beliau.

Ketika ditanya berkaitan desakan terhadap menteri yang dikatakan terlibat untuk bercuti, ujar beliau, ia terserah kepada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Amalan Barisan Nasional (BN) dulu, sewaktu (Tan Sri) Rahim Tambi Chik dulu (tuduhan merogol gadis bawah umur), beliau dinasihatkan untuk bercuti walau jawatan dalam parti tidak semestinya terjejas kerana seseorang itu tidak dianggap bersalah selagi tidak dibuktikan tapi jawatan dalam kerajaan lain kerana orang yang menyiasat akan kekok kerana jawatan yang dijawat,” terang Annuar.

Baru-baru ini tular di media sosial berkaitan video lucah songsang yang memperlihatkan seorang lelaki bernama Haziq Abdullah Abdul Aziz dan lelaki mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Berikutan penularan tersebut, Haziq telah pun membuat pengakuan bersumpah dan mengakui beliau adalah individu di dalam video berkenaan. – MediaUMNO