Mesyuarat Cawangan Lancar, UMNO Semakin Disayangi Dan Di Hormati

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Kelancaran mesyuarat Cawangan UMNO di Negeri Perak baru-baru ini membuktikan UMNO semakin disayangi dan dihormati oleh segenap usia dan pelbagai lapisan masyarakat, kata Setiausaha Kerja UMNO Negeri Perak, Mohd Salleh Mat Disa.

Menurut beliau, sepanjang tempoh persidangan peringkat Cawangan yang bermula pada 15 Feb sehingga 30 Mei lalu menunjukkan bahawa sokongan kepada UMNO sangat memberangsangkan termasuklah dari golongan muda.

“Berdasarkan kepada mesyuarat yang telah berlangsung, semangat ahli akar umbi makin meninggi dan melebihi dari kebiasaannya yang mana terbukti bahawa parti ini makin mantap dan kukuh termasuklah dengan kehadiran ramai anak-anak muda yang mahu menjadi ahli UMNO,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelas beliau, mesyuarat Cawangan UMNO Negeri Perak mencatat jumlah 1,640 cawangan yang telah selesai daripada jumlah keseluruhan 1,781 cawangan.

“Ini bermakna hanya sekitar tujuh atau lapan peratus sahaja yang gagal mengadakan mesyuarat yang disebabkan oleh sesetengah cawangan tidak cukup ‘korum’ kerana ada ahli cawangan yang berpindah, tukar cawangan dan sebagainya… maka ada cawangan yang tidak jadi bermesyuarat pada tahun ini dan laporan ada dibuat.”

Tambah Mohd Salleh lagi, apa yang menariknya, persidangan Cawangan kali ini sangat bermakna kerana kehadiran anak muda lebih ramai yang tentunya mereka bakal menyambung kepimpinan UMNO pada suatu hari.

“UMNO adalah sebagai wadah perjuangan orang Melayu yang terbesar dan paling ramai ahlinya… UMNO bukannya parti picisan seperti parti-parti lain.

“Insya-Allah… UMNO akan kekal dan terus maju kerana UMNO inilah tempat bersandarnya orang-orang Melayu,” ujarnya beliau lagi.

Dengan tamatnya persidangan Cawangan Bulan lalu, Mesyuarat UMNO peringkat Bahagian bakal bermula 16 Jun ini sehingga 15 Ogos depan.

Sebelum ini, Majlis Tertinggi UMNO memaklumkan mesyuarat UMNO Bahagian dipanjangkan daripada 15 Jun sehingga 15 Ogos 2019 untuk memberikan peluang kepada ramai pemimpin-pemimpin parti turun ke peringkat bawah bagi menerangkan isu-isu semasa dan memberikan semangat kepada pemimpin-pemimpin di akar umbi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.