Sokongan Kukuh Akar Umbi Tetap Pertahankan UMNO – Johan


KUALA LUMPUR, 14 Jun – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz berkata sokongan kukuh ahli-ahli UMNO di akar umbi semakin ketara dalam memastikan perjuangan dan kesinambungan parti ini berterusan.

Katanya, berdasarkan kepada mesyuarat Cawangan UMNO yang baru sahaja selesai tempoh persidangannya, ternyata sambutan akar umbi yang amat menggalakkan bagi memastikan parti ini kembali bangkit dan menerajui negara kembali kelak.

“Saya terharu dengan perkembangan ini kerana mesyuarat cawangan parti di negeri Selangor berjaya dilaksanakan dengan lancar, kesemua persidangan berjalan dengan baik dan sempurna malahan tiada cawangan UMNO yang dibubarkan walaupun terdapat tiga ketua cawangan keluar parti dan cuma hanya satu cawangan dalam bahagian Klang telah diarahkan bersidang semula,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelas beliau, sehingga hari ini terdapat 2,326 cawangan UMNO di semua 22 Bahagian UMNO di Selangor yang pada keseluruhannya memberikan sambutan yang sangat menggalakkan dalam persidangan kali ini.

“Pada keseluruhan sambutan ahli-ahli akar umbi UMNO dari pelbagai peringkat kali ini bersemangat untuk hadir bermesyuarat dan juga mempertahankan parti UMNO.

“Rakyat di akar umbi rata-rata begitu kecewa dengan sikap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak peka dan cuba mengusik sensitiviti orang Islam. Kerajaan PH ini seolah-olah tidak mempertahankan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

“Rakyat kecewa kerana PH tidak serius terhadap agama Islam dan institusi yang melibatkan umat Islam, contoh seperti Tabung Haji, YADIM dan sebagainya… mereka bimbang tindak tanduk PH ini boleh merugikan bangsa Melayu dan agama Islam.

“Kegagalan PH menunaikan janji yang termaktub dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 iaitu mengenai tol percuma, kos sara hidup yang tinggi, penghapusan bayaran pinjaman PTPTN dan harga runcit petrol di bawah RM1.50 seliter adalah antara hal yang disebut-sebut rakyat,” ujarnya lagi.

Mesyuarat UMNO peringkat Cawangan telah berlangsung bermula 15 Feb hingga 30 Mei lalu sementara mesyuarat UMNO Bahagian bakal bermula daripada 15 Jun sehingga 15 Ogos 2019. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.