Kegagalan Inkues Adib Beri Kesan Buruk – Jamil Khir

ALOR SETAR, 14 Jun – Kegagalan pihak berkaitan menguruskan inkues kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim secara adil akan memberi kesan buruk kepada sistem perundangan negara. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, bukan sahaja keluarga dan rakyat di negeri ini, bahkan masyarakat di seluruh negara telah menilai prosiding tersebut secara negatif.

Menurutnya, pandangan orang ramai terhadap prosiding tersebut bukan disebabkan faktor bangsa atau sebab-sebab lain tetapi mereka melihat proses itu harus mencerminkan ketelusan perundangan negara.

“Ramai yang sudah menilai bahawa kegagalan menguruskan kes kematian ini akan menyebabkan pandangan negatif terhadap sistem kehakiman dan perundangan Malaysia.

“Ia akan memberi rekod buruk kepada sistem berkenaan, jadi perkara ini perlu diselesaikan secara tuntas dan dijelaskan kepada umum untuk mengembalikan keyakinan masyarakat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kelmarin, Peguam, Syazlin Mansor yang sebelum ini menarik diri daripada prosiding inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib berpendapat ada cubaan untuk mengacau ganggu kes tersebut oleh pihak tertentu.

Syazlin yang memutuskan untuk kembali mewakili keluarga Muhammad Adib dalam prosiding inkues kematian itu berkata, cubaan itu dapat dilihat dalam hal berkaitan keterangan yang dikemukakan saksi pakar. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.