Ahli UMNO Bersemangat, Perkukuh Parti Sebagai ‘Payung’ Agama, Bangsa Dan Negara

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Ahli-ahli UMNO menunjukkan semangat yang sangat baik dalam melaksanakan persidangan UMNO peringkat Cawangan sebagai usaha bagi meneruskan perjuangan parti untuk menjadi ‘payung’ kepada orang Melayu dan Islam dalam membela nasib bangsa, agama dan negara.

Setiausaha Kerja UMNO Negeri Johor, Haji Pandak Ahmad berkata, persidangan UMNO Cawangan yang melibatkan ahli-ahli akar umbi sebagai tunjang utama kepada parti telah berlangsung dengan lancar tanpa ada apa-apa insiden buruk sebaliknya anggota parti menunjukkan semangat kesatuan untuk berusaha meletakkan UMNO kembali sebagai tampuk pemerintah.

“Dalam keadaan apa pun UMNO akan terus menjadi ‘payung’ kepada orang Melayu dan Islam apatah lagi sejak akhir-akhir ini hal tersebut tidak dijaga oleh kerajaan yang ada hari ini,” katanya kepada UMNO-Online.

Katanya, rata-rata ahli kini lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan UMNO di samping berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada demi memastikan kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

“Tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang persidangan cawangan ini dilaksanakan, kesemua ahli bersidang secara harmoni dan berhemah dengan kehadiran ahli ke persidangan juga sangat memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya.”

Jelasnya, jumlah keseluruhan cawangan di negeri Johor yang berdaftar adalah sebanyak 2,331 cawangan dan daripada jumlah tersebut hanya tiga cawangan dibubarkan menjadikan baki sebanyak 2,328 cawangan.

“Untuk persidangan cawangan kali ini, dilaporkan sebanyak 2,137 cawangan telah berjaya mengadakan persidangan manakala 126 cawangan tidak berjaya mengadakan persidangan pada tahun ini.

“Sebanyak 65 cawangan adalah cawangan yang berdaftar tetapi tidak aktif namun ini menunjukkan sebanyak 91.8 peratus cawangan telah bersidang berbanding 5.4 peratus yang tidak bersidang, selebihnya sebanyak 2.8 peratus cawangan berdaftar tetapi tidak aktif.”

Tarikh mesyuarat UMNO peringkat Cawangan telah berlangsung bermula 15 Feb hingga 30 Mei lalu dengan tempoh yang panjang bagi memberikan lebih banyak ruang dan masa kepada cawangan dan bahagian mengurus menyuarat-mesyuarat tersebut sementara Mesyuarat UMNO Bahagian bakal bermula pada 15 Jun ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.