10 Sebab Tommy Thomas Tak Layak Jadi Peguam Negara, Harus Letak Jawatan Atau Dipecat


KUALA LUMPUR, 14 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Tommy Thomas segera meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata jika benar Kerajaan Malaysia Baharu ini masih berpegang kepada prinsip ‘Rule of Law’ dan memelihara kedaulatan undang-undang, maka Tommy Thomas wajar meletakkan jawatan secara sukarela dengan segera atau dipecat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

“Justeru jika benar Kerajaan Malaysia Baharu ini masih berpegang kepada prinsip ‘Rule of Law’ dan memelihara kedaulatan undang-undang, maka berdasarkan sepuluh sebab, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menegaskan bahawa Tommy Thomas tidak lagi layak untuk terus memegang jawatan selaku Peguam Negara.

“Beliau wajar meletakkan jawatan secara sukarela dengan segera atau dipecat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir!” tegasnya.

Katanya, Tommy Thomas perlu segera meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara berasaskan 10 SEBAB yang digariskan seperti berikut:

(1) Pendedahan Puan Syazlin Mansur bekas peguam kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai campur tangan Peguam Negara di dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Adib selain wujudnya Afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara mendeposkan Allahyarham Adib tidak dipukul sedangkan prosiding inkues belum pun selesa, jelas menunjukkan betapa lemah dan kurang arifnya Tommy Thomas mengenai perjalanan inkues dan diragui kredibiliti beliau untuk menjalankan tanggungjawab secara bebas.

(2) Wujudnya pendakwaan terpilih dan pengguguran pendakwaan misalnya pengguguran sepenuhnya kes rasuah YB Lim Guan Eng walaupun prosiding mahkamah telahpun berjalan dan saksi-saksi telah mula memberi keterangan di mahkamah, jelas membelakangi prinsip ‘Rule of Law’ dan integriti sebagai Peguam Negara.

(3) Selaku Peguam Negara Tommy Thomas gagal memberikan nasihat undang-undang secara adil dan tuntas kepada KDYMM SPB Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja mengenai kesan dan impak Statut Rom dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kepada Perlembagaan Persekutuan dan Raja-Raja Melayu.

(4) Selaku Peguam Negara, Tommy Thomas jelas tidak menghormati keputusan Majlis Raja-Raja Melayu dan Kerajaan Malaysia berkenaan Statut Rom dengan melibatkan diri dalam wacana awam yang secara terbuka mengkritik keputusan kabinet dan memperlekehkan Raja-Raja Melayu.

(5) Kegagalan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk menasihati Perdana Menteri dan Yang DiPertuan Agong berhubung keperluan menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat sama ada wujud salah laku oleh enam ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga amat memalukan kerana akhirnya terbukti bersifat sia-sia dan tidak memberikan apa-apa kesan yang produktif malah berlakunya pembaziran masa serta sumber negara.

(6) Selaku Peguam Negara, Tommy Thomas telah melantik peguam luar, Sitpah Selvaratnam bagi mengendalikan kes kapal mewah Equanimity dengan bayaran upah yuran guaman yang amat tinggi iaitu sebanyak RM2 juta sedangkan penghakiman di dalam kes tersebut hanyalah penghakiman ingkar (default judgement) dan tidak melibatkan sebarang proses perbicaraan. Dalam isu ini juga, Tommy Thomas didapati menipu kerana bertentangan dengan kenyataan awal beliau bahawa peguam luar dilantik tanpa sebarang bayaran atau Pro-bono.

(7) Tindakan Tommy Thomas selaku Peguam Negara menggugurkan sepenuhnya beberapa kes berprofil tinggi yang melibatkan hubungan diplomatik negara tanpa alasan munasabah seperti kes penderaan yang menyebabkan kematian pembantu rumah Indonesia Adelina Jerima Sau dan juga kes yang melibatkan dua suspek warga Vietnam dan Indonesia dalam kes pembunuhan warga Korea Utara yang dipercayai sebagai Kim Jong Nam, abang kepada Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un. Tindakan ini sekali lagi membelakangi prinsip ‘Rule of Law’ dan kedaulatan undang-undang negara.

(8) Tindakan Tommy Thomas selaku Peguam Negara membatalkan arahan untuk mendakwa peguam Siti Kassim yang didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada seorang penonton di forum Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) sekali lagi mencetuskan persepsi buruk terhadap kebebasan dan integriti Institusi Peguam Negara lantaran tularnya video tarian ‘twist’ Tommy Thomas dengan Siti Kassim tidak berapa lama sebelum kes itu digugurkan.

(9) Tularnya satu audio rakaman perbualan Peguam Siti Kassim yang mendakwa beliau telah bercakap dengan Tommy Thomas berkenaan kes saman Kerajaan Pusat terhadap Kerajaan Kelantan berkaitan isu Orang Asli di Gua Musang yang difailkan setelah pengumuman tarikh Pilihanraya Kecil Cameron Highland menyerlahkan lagi akan wujudnya konspirasi dan hilangnya kredibiliti, integriti dan kebebasan Peguam Negara.

(10) Pengumuman keputusan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia oleh Pengerusinya, Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels untuk digunakan dalam kelayakan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) disifatkan ramai pihak sebagai mencabar status quo kedaulatan Perlembagaan Persekutuan. Keputusan itu dibuat ‘secara unilateral’ tanpa menunggu perbincangan kementerian pendidikan dan merujuk kepada kabinet menimbulkan bantahan dan kritikan rakyat terhadap sikap dan pendirian Peguam Negara. – MediaUMNO